Indeks Pelopor pulih, ekonomi negara di landasan tepat untuk berkembang

Indeks Pelopor pulih, ekonomi negara di landasan tepat untuk berkembang

IP tahun ke tahun memulih kepada -2.3% pada Ogos tahun ini berbanding -4.0 pada Julai.

Penurunan IP dipengaruhi terutamanya oleh kemerosotan dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan, menurut Mohd Uzir Mahidin.
PETALING JAYA:
Prestasi Indeks Pelopor (IP), iaitu petunjuk ekonomi negara bagi tempoh empat hingga enam bulan ke hadapan, memulih kepada -2.3% pada Ogos berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya menunjukkan ekonomi Malaysia berada pada landasan kukuh untuk pulih.

Bagi perbandingan bulanan, IP meningkat sebanyak 1.1% berbanding -0.6% pada Julai dengan kebanyakan komponen mencatatkan pertumbuhan positif terutamanya didorong oleh kenaikan dalam Jangkaan Nilai Jualan di sektor pembuatan (1.3%).

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, prospek pembangunan ekonomi yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) juga dijangka memacu pemulihan ekonomi melalui agenda jangka panjang global dan nasional sepanjang 2021 hingga 2025.

“Dengan mengambil kira prestasi IP yang lebih baik dan peralihan lebih banyak negeri di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), dijangkakan bahawa ekonomi negara berkemungkinan besar semakin baik pada bulan-bulan berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Uzir berkata, penurunan IP dipengaruhi terutamanya oleh kemerosotan dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan berikutan pasaran hartanah yang mencabar dan sentimen pesimis dalam kalangan pelabur semasa wabak Covid-19.

Sementara itu beliau berkata, Indeks Serentak (IS) yang mencerminkan prestasi aktiviti ekonomi semasa menunjukkan trend penurunan yang lebih baik dengan 1.6% pada Ogos berbanding -5.2% pada bulan sebelumnya.

“Ia merekodkan 108.2 mata berbanding 110.0 mata pada bulan sama tahun sebelumnya dan dari segi bulan ke bulan, IS meningkat 4.2% pada Ogos.

“Kapasiti Penggunaan di sektor pembuatan (2.9%) dan Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (0.9%) adalah penyumbang utama kepada peningkatan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.