
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Razarudin Husain berkata, dadah seberat 398.28kg dan bernilai kira-kira RM14.33 juta itu ditemui hasil pemeriksaan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Beliau berkata, pihaknya sebelum itu dimaklumkan oleh Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) mengenai satu kontena dari Guatemala yang dijangka melalui PTP sebelum ke Filipina, dipercayai membawa dadah jenis methamphetamine.
Razarudin berkata, pihaknya percaya sindiket terbabit menjalankan aktiviti penyeludupan dadah melalui jalan laut dari luar negara dan menjadikan pelabuhan Malaysia sebagai transit sebelum bahan terlarang itu diseludup ke negara ketiga.
“Apabila kontena ini dibuka, kita dapati daripada 100 guni yang diisytiharkan sebagai biji kopi yang sepatutnya dihantar ke Filipina, ada 14 guni berisi dadah yang kita jangka boleh digunakan seramai kira-kira 1.99 juta penagih dadah. Ini kali pertama berlaku di PTP,” katanya kepada Bernama pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.
Razarudin bagaimanapun berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan pihaknya masih menjalankan siasatan serta menunggu arahan dan maklumat daripada PDEA untuk tindakan lanjut.
Katanya, syarikat perkhidmatan kontena di PTP itu dipercayai tiada kaitan dengan aktiviti penyeludupan dadah terbabit kerana mereka hanya menyediakan perkhidmatan, selain menjalankan sistem pengurusan kontena secara dalam talian.
Mengenai penahanan seorang rakyat Malaysia yang disyaki cuba menyeludup masuk dadah seberat 450kg heroin bernilai RM431.8 juta ke Australia baru-baru ini, beliau berkata, lelaki terbabit bukan keldai dadah.
“Lelaki berumur 38 tahun itu telah masuk ke Australia pada Januari tahun lepas. Saya boleh menolak kemungkinan dia keldai dadah sebab sudah masuk ke negara itu pada Januari 2020.
“Kalau keldai dadah yang kita nampak (modus operandinya) adalah membawa dadah menggunakan kapal terbang turun di lapangan terbang dan ditangkap. Tetapi dia sudah duduk lebih setahun di Australia,” katanya.
Beliau berkata, kes itu masih dalam siasatan dan maklumat yang diberikan oleh Polis Persekutuan Australia (AFP) dapat membantu pihaknya membuat siasatan lebih menyeluruh.
“Siasatan mungkin mengambil masa seminggu hingga sebulan kerana kita mahu mendapatkan risikan maklumat bernilai dan berinformasi serta berkualiti. Kita boleh juga membuat siasatan lebih kurang tetapi tidak berkualiti, kita tidak mahu macam itu kerana ini sindiket besar dan memerlukan siasatan rapi.”
Pada 17 Okt lepas, polis dilaporkan bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung penahanan seorang rakyat Malaysia yang disyaki menyeludup dadah ke negara itu.