
Katanya, kerajaan sekali lagi mengubah kaedah pengagihan tahun ini, susulan 12 syarikat diberi hak mengeluarkan benih padi sah selepas berlaku masalah ketika Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menjadi pengedar tunggal tahun lalu.
“Kelewatan petani menerima benih padi sah sekali lagi berlaku tahun ini dan ia dijangka menjejaskan jadual tanaman kira-kira 110,000 hektar sawah di seluruh kawasan MADA.
“Sebagai contoh di kawasan Jerlun, lebih 1,000 petani tidak dapat memulakan musim tanaman baharu yang sepatutnya bermula 15 Oktober lalu kerana kami belum menerima bekalan benih padi yang sepatutnya dihantar ke PPK.
“Pengedar jelas gagal menghantar benih padi yang diperlukan mengikut jadual tanaman ditetapkan pihak MADA dan kesannya terpaksa dihadapi petani yang sudah siap melakukan kerja membajak serta penyediaan tapak sawah,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Terdahulu, lebih 20 pesawah dari PPK 12 Jerlun mengadakan bantahan menuntut kerajaan segera menyelesaikan masalah agihan benih padi dan menolak varieti MR219 yang terus dibekalkan kepada mereka kerana ia didapati menjejaskan hasil pada musim lalu.
Che Ani berkata, pihaknya juga mendesak kerajaan menghentikan pengeluaran benih MR219 dan petani dibekalkan dengan pilihan benih padi yang lebih sesuai seperti Seri Waja MR315 atau MARDI Sempadan 302, Sebemas 307 dan Siraj 297.
“Selain itu, tindakan tegas juga perlu diambil ke atas pengedar yang menyelewengkan harga benih padi serta peniaga yang mengambil kesempatan menjual benih padi pada harga tinggi di pasaran terbuka,” katanya.
Beliau turut mendakwa, benih padi ada dijual di kedai peralatan pertanian, namun harganya tinggi sehingga RM48 seguni seberat 20kg, sedangkan harga jualan sepatutnya cuma RM33.