Tamatkan monopoli industri beras, gesa pesawah

Tamatkan monopoli industri beras, gesa pesawah

Kumpulan pesawah berkata, struktur sedia ada sekat bilangan syarikat beli padi dan edar beras, lantas menekan harga.

sawah padi 1
PM Anwar Ibrahim semalam umum peruntukan RM2.62 bilion untuk pelbagai subsidi pertanian tahun depan, peruntukan terbesar dalam sejarah negara.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa menyemak semula struktur industri padi dan beras yang didakwa bersifat monopoli melampau sehingga menyebabkan pesawah terus kerugian.

Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) berkata, struktur semasa memberi ruang kepada hanya segelintir syarikat untuk mendominasi pembelian padi serta pengedaran beras, memudaratkan golongan petani.

“PeSawah menggesa kerajaan agar menilai semula struktur industri yang kini bersifat sangat monopolistik. Monopoli dalam pembelian padi dan pengedaran beras (oleh segelintir syarikat) mengehadkan pilihan pesawah (mendapatkan pembeli) dan menekan harga pada peringkat ladang.

“Struktur ini wajar dibuka secara terkawal bagi mewujudkan persaingan sihat yang akhirnya akan menguntungkan pesawah dan pengguna,” kata Pengerusi PeSawah Abdul Rashid Yob dalam kenyataan.

Meskipun menghargai subsidi pertanian bernilai RM2.62 bilion untuk tahun depan, Rashid berkata, sebahagian besar dana itu tidak akan diterima terus oleh pesawah.

Beliau mendakwa, hanya 30% daripada skim subsidi harga padi benar-benar sampai ke tangan pesawah, dengan nilai cuma RM500 untuk setiap tan metrik padi yang dikeluarkan.

“… penerima manfaat utamanya adalah vendor-vendor dan syarikat pembekal input pertanian, bukannya pesawah secara langsung,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026 semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM2.62 bilion untuk pelbagai subsidi pertanian tahun depan, yang menurutnya, peruntukan terbesar dalam sejarah negara.

Beliau berkata, kerajaan juga akan menaikkan insentif bermusim bagi penuaian padi, pembajakan dan penggunaan racun perosak, dengan setiap petani akan menerima bantuan bermusim sekitar RM4,300 sehektar, berbanding RM3,790 sebelum ini.

Mengulas lanjut, Rashid berkata, industri itu memerlukan perubahan struktur yang komprehensif, khususnya dalam mewujudkan mekanisme penentuan harga padi dan beras yang lebih adil serta telus.

Katanya, PeSawah sedia bekerjasama dengan kerajaan untuk melaksanakan reformasi struktur demi memastikan kemampanan industri dan keterjaminan makanan.

Dalam pada itu, beliau turut kecewa apabila elaun sara hidup sebanyak RM600 semusim bagi pesawah sementara menunggu tuaian tidak disertakan dalam Belanjawan 2026.

“Pada Julai 2023, (elaun) diberikan kemudian diteruskan pada 2024 tetapi malangnya pada 2025, (ia) ditarik senyap-senyap menyebabkan para pesawah ternanti-nanti sehingga ke hari ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.