Bengkel di Rawang tak cemar Sungai Gong, kata kerajaan

Bengkel di Rawang tak cemar Sungai Gong, kata kerajaan

Dalam kenyataan pembelaan terhadap saman secara 'class action', kerajaan berkata siasatan mendapati tiada sisa berbahaya dilupuskan ke dalam sungai itu.

Seramai 810 penduduk memfailkan saman secara ‘class action’ terhadap sebuah bengkel, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan persekutuan susulan gangguan bekalan air selama empat hari pada September 2020. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiada bukti menunjukkan sebuah bengkel di Rawang bertanggungjawab mencemarkan Sungai Gong tahun lalu sehingga menyebabkan lebih sejuta isi rumah di Lembah Klang terjejas akibat gangguan bekalan air, kata kerajaan persekutuan.

Dalam kenyataan pembelaan terhadap saman secara “class action” yang difailkan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew dan 809 penduduk, kerajaan berkata, hasil siasatan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) di premis syarikat Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd pada 17 dan 18 Mac 2020 mendapati tiada sisa berbahaya dilupuskan ke dalam sungai terbabit.

Mereka juga tidak menemui sebarang efluen di bengkel itu semasa pemeriksaan pada 3 Sept 2020, sebaliknya hanya menemui penapis minyak terpakai, minyak pelincir dan bateri kereta terpakai.

“Bengkel ini telah melanggar Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) dan dikompaun pada Mac dan September tahun lalu,” kata kenyataan itu.

Tan dan penduduk memfailkan saman di Mahkamah Tinggi pada April lalu terhadap bengkel itu, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan persekutuan susulan gangguan bekalan air di Lembah Klang selama empat hari bermula 3 Sept lalu.

Seramai 810 plaintif mahu mahkamah mengisytiharkan bengkel Yip Chee Seng & Sons sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas kecuaian dan mengisytiharkan bahawa pihak berkuasa awam termasuk negeri dan kerajaan persekutuan melanggar tugas statutori dalam mengekalkan tahap kualiti air.

Pada masa sama, mereka juga menuntut ganti rugi akibat kesukaran dan penderitaan sepanjang gangguan air berlaku.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Menteri Besar, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Manakala defendan daripada kerajaan persekutuan terdiri daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Majlis Kualiti Alam Sekitar, JAS dan Menteri Alam Sekitar dan Air.

Selain itu, Air Selangor serta sebuah syarikat, Pakar Scieno TW Sdn Bhd, juga dinamakan dalam tuntutan ini.

Sebelum ini, Yip Chee Seng & Sons dalam pembelaan menafikan mereka melupuskan sisa berbahaya ke dalam Sungai Gong.

Empat pengarah bengkel dan seorang pengurus yang didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang tahun lalu masih menunggu hari perbicaraan atas dakwaan membuang bahan buangan berbahaya ke dalam sungai terbabit.

Kerajaan persekutuan juga mendakwa mereka tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan ke atas gangguan air itu.

“Plaintif tidak mempunyai sebab yang munasabah untuk mengambil tindakan itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.