SPRM, BNM kerjasama siasat isu Kertas Pandora, minta Anwar kongsi maklumat

SPRM, BNM kerjasama siasat isu Kertas Pandora, minta Anwar kongsi maklumat

SPRM juga meminta Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk memberi kerjasama sekiranya mempunyai maklumat lanjut tentang isu berkenaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan bekerjasama dengan agensi siasatan lain dalam siasatan isu Kertas Pandora.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta agensi siasatan lain bagi menyiasat isu pendedahan Kertas Pandora.

SPRM dalam kenyataan menyebut, tindakan berkenaan diambil susulan perkara itu dibangkitkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, di Parlimen dengan mengemukakan notis usul kepada Speaker Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Sehubungan itu, SPRM juga meminta Presiden PKR itu untuk memberi kerjasama, sekiranya beliau mempunyai maklumat lanjut tentang isu berkenaan.

“SPRM juga meminta Datuk Seri Anwar untuk memberi kerjasama dengan Suruhanjaya ini sekiranya beliau mempunyai maklumat lanjut tentang isu tersebut,” menurut kenyataan.

Awal hari ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membidas SPRM dengan mendakwa suruhanjaya itu berdegil menolak melakukan siasatan berhubung pendedahan Kertas Pandora.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan, berkata tindakan SPRM berkenaan menimbulkan kemusykilan dan keraguan masyarakat mengenai kredibiliti agensi itu, selain mengiyakan kecurigaan bahawa SPRM akan menutup mata apabila ahli politik yang masih aktif dan menyokong kerajaan didakwa terbabit.

Pada masa sama, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan Putrajaya tidak akan campur tangan sekiranya agensi penguatkuasaan memilih untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati bersalah dalam kebocoran Kertas Pandora.

“Kita (kerajaan) terbuka dan kita menyerahkannya kepada badan-badan penguatkuasaan, seperti SPRM untuk membaca laporan itu,” katanya kepada pemberita.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.