Individu lengkap vaksin kuarantin wajib hari ke-5 ke atas, dapat pelepasan, kata KJ

Individu lengkap vaksin kuarantin wajib hari ke-5 ke atas, dapat pelepasan, kata KJ

Bagaimanapun Khairy Jamaluddin berkata pelepasan perintah pengawasan dan pemerhatian itu akan diberikan sekiranya ujian RT-PCR mereka negatif.

Garis panduan sedia ada yang berkaitan masih terpakai dan orang awam diingatkan untuk terus patuh kepada SOP, menurut Khairy Jamaluddin.
PETALING JAYA:
Individu lengkap vaksin Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin wajib hari kelima ke atas akan diberikan pelepasan perintah pengawasan dan pemerhatian Isnin ini sekiranya ujian RT-PCR mereka negatif, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, bagi individu yang tidak mengambil vaksin atau belum lengkap dos vaksin dan sedang menjalani kuarantin wajib hari kelapan dan ke atas juga boleh menjalani ujian RT-PCR bermula hari ini.

“Sekiranya keputusan adalah negatif, mereka akan diberikan pelepasan pada 18 Okt,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairy berkata, garis panduan sedia ada yang berkaitan masih terpakai dan orang awam diingatkan untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kegagalan untuk mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Pengumuman terbaharu itu selaras dengan pengurangan tempoh kuarantin wajib berkuatkuasa 18 Okt yang diumumkan kerajaan semalam.

Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada Jumaat bersetuju mengurangkan tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara dari luar negara dan kontak rapat kepada tujuh hari berbanding 14 hari.

Manakala tempoh kuarantin 10 hari di stesen kuarantin bagi pengembara tiada atau tidak lengkap vaksin, begitu juga kepada kontak rapat yang tiada atau tidak lengkap divaksin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.