NGO tuntut penjelasan status sebenar Hutan Simpan Bukit Cherakah

NGO tuntut penjelasan status sebenar Hutan Simpan Bukit Cherakah

Semakan dengan pihak berwajib mendapati kandungan Pemberitahuan Warta 1443 yang diterbitkan pada 2006 tiada langsung disebut berkenaan Hutan Simpan Bukit Cherakah.

Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam menghantar surat memohon janji temu kepada Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian di hadapan pintu masuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.
SHAH ALAM:
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar mendesak kerajaan Selangor mengeluarkan arahan henti kerja di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Cherakah sehingga status nyahwarta hutan itu dikeluarkan secara rasmi.

Wakil Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam, Teckwyn Lim berkata, ini kerana terdapat percanggahan kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian mengenai status sebenar hutan terbabit.

“Dalam sesi pendengaran awam pada April lalu, YB Hee mengakui dan bersetuju terdapat salah faham berkenaan status sebenar Hutan Simpan Bukit Cherakah, iaitu tiada penyahwartaan hutan simpan yang sempurna dan berjanji untuk menyemak dan menyiasat semula status sebenar tanah tersebut.

“Bagaimanapun, sehingga kini kami masih belum mendapat maklum balas daripada YB Hee berkenaan hasil semakan dan status HSK Bukit Cherakah,” katanya kepada media sebelum sesi penyerahan memorandum kepada wakil Pejabat Exco Pelancongan dan Alam Sekitar di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Memorandum itu mendesak agar pertemuan diadakan segera antara Hee dan NGO alam sekitar terbabit bagi merungkai status sebenar HSK berkenaan.

Difahamkan, Hee tidak dapat berjumpa dengan kumpulan aktivis alam sekitar itu kerana berada di United Kingdom atas urusan kerja.

Mengulas lanjut, Teckwyn menegaskan, Hee berulang kali mendakwa hutan berkenaan sudah dinyahwarta menerusi satu dokumen Pemberitahuan Warta 1443 dan status hutan simpan kekal telah ditarik balik oleh kerajaan negeri untuk tujuan pembangunan seperti di Bandar Puncak Alam, Alam Budiman, UiTM Puncak Alam.

Bagaimanapun katanya, hasil semakan dengan pihak berwajib, mendapati kandungan bernombor PW1443 yang diterbitkan pada 2006 itu tiada langsung disebut berkenaan hutan terbabit.

“Dalam Enakmen Perhutanan Negeri Selangor 1985, penyahwartaan hutan simpan kekal wajib diterbitkan dan disempurnakan melalui proses pemberitahuan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor.

“Namun, kami dapati sejumlah 2,883 notis pemberitahuan yang telah diterbitkan tiada satu pun menyebut atau berkaitan hutan ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah merujuk perkara berkenaan kepada pasukan peguam dan pihak daripada Majlis Peguam Malaysia mengesahkan kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah dan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) masih dalam status HSK dan tidak pernah dinyahwarta.

“Dari segi undang-undang, tanah di dalam kawasan SACF tidak boleh digunakan untuk pembangunan. Sebarang pembangunan sedia ada di tepi Jalan Mokhtar Dahari adalah menyalahi undang-undang dan wajib dihentikan serta-merta.

“Mana-mana hak pemilikan tanah yang telah dikeluarkan di dalam kawasan SACF juga adalah tidak sah berdasarkan peruntukan Kanun Tanah Negara 1962. Pejabat Tanah Daerah Petaling harus menghormati undang-undang ini,” katanya.

Pada 24 Sept, Hee menjelaskan bahawa isu projek pembangunan berhampiran SACF yang ditularkan oleh beberapa pihak mendapati projek itu berlaku di luar kawasan HSK.

Katanya, seluas 9,642 hektar Hutan Simpan Bukit Cherakah diwartakan sebagai HSK pada 1909 namun sudah mengalami beberapa kali penyahwartaan sejak 1976 bagi tujuan pembangunan.

Kini, Hutan Simpan Bukit Cherakah yang masih kekal adalah seluas 1,298.86 hektar dan masih diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sebagai kelas Hutan Perlindungan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.