Pemilihan PKR: Altimet berdepan timbalan speaker Selangor di Ampang

Pemilihan PKR: Altimet berdepan timbalan speaker Selangor di Ampang

Saingan hangat juga berlaku di Petaling Jaya, dengan bekas exco Selangor Hee Loy Sian berharap untuk menepis cabaran Ahli Parlimen Lee Chean Chung.

Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad yang lebih dikenali sebagai Altimet berkata buat masa ini tumpuannya kekal pada persaingan peringkat bahagian.
PETALING JAYA:
Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, lebih dikenali sebagai penyanyi rap Altimet akan menentang Timbalan Speaker DUN Selangor, Kamri Kamaruddin dalam persaingan merebut jawatan ketua bahagian PKR Ampang.

Kamri, seorang pemimpin PKR yang berpengalaman, mengesahkan hasrat kembali bertanding selepas berundur dalam pemilihan parti sebelum ini pada 2022.

“Pada pilihan raya lalu, saya menarik diri pada saat akhir bagi memberi laluan kepada Altimet menerajui bahagian Ampang untuk satu penggal,” katanya kepada FMT.

“Kali ini, saya rasa ada keperluan untuk saya kembali dan menerajui bahagian itu semula. Saya lihat ada sokongan dan kepercayaan daripada ahli akar umbi untuk saya memikul peranan ini.

“Terdapat juga keinginan daripada lapangan untuk memilih pemimpin baharu – seseorang yang mungkin muka lama,” kata Kamri, yang juga Adun Bukit Antarabangsa.

Syed Ahmad, yang sedang menamatkan penggal pertamanya sebagai ketua PKR Ampang, menyambut baik cabaran Kamri dan Azrul Azwar Ahmad Tajuddin, menyifatkan pertandingan tiga penjuru itu sebagai sebahagian proses demokrasi yang sihat dalam parti.

“Saya gembira dapat mengambil bahagian dalam proses demokrasi ini di mana setiap ahli bahagian ini boleh bersuara tentang bagaimana kita akan bergerak ke hadapan.

Beliau merujuk kepada kejayaan PKR merampas semula kerusi Parlimen Ampang serta kerusi DUN Bukit Antarabangsa dan Lembah Jaya yang tewas akibat pembelotan pada 2020.

Syed Ahmad, Adun Lembah Jaya, berkata tumpuannya kekal pada pertandingan peringkat bahagian buat masa ini, walaupun berharap dapat menyumbang di peringkat nasional juga.

“Saya tidak sabar untuk menyuntik idea segar dan baru ke dalam parti di peringkat bahagian dan nasional. Tetapi pengundian bahagian dilakukan terlebih dahulu, jadi itulah keutamaan sekarang.

“Akhirnya, kita semua berkongsi visi yang sama dan mahu mengamalkan tingkah laku dan semangat organisasi yang baik. Melawan Kamri adalah satu cabaran yang menarik. Dia ahli parti yang berpengalaman dan Adun saya. Saya mengundinya dalam PRN,” katanya.

Saingan hangat di PJ, JB

Persaingan hangat juga berlaku di Petaling Jaya untuk jawatan ketua bahagian, dengan bekas exco Selangor Hee Loy Sian berharap mempertahankan jawatan itu, menentang Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung.

Lee, pengarah komunikasi PKR, berkata beliau mengambil bahagian dalam pertandingan itu ‘untuk kebaikan’ dan dengan harapan dapat membawa perubahan positif kepada bahagian Petaling Jaya.

“Kami mempunyai bilangan ahli mengundi ketiga tertinggi di seluruh negara dan kini tiba masa untuk menjadikan Petaling Jaya antara bahagian PKR terbaik di Malaysia,” katanya.

Hee, yang tidak diletakkan sebagai calon pada pilihan raya Parlimen dan negeri lalu, juga merupakan naib pengerusi PKR Selangor.

Difahamkan, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasir akan dicabar Ketua Pemuda PKR Johor Taufiq Ismail untuk jawatan ketua bahagian Johor Bahru dalam persaingan satu lawan satu.

Akmal, Ahli Parlimen Johor Bahru dua penggal kini mengetuai bahagian itu.

Sementara itu, persaingan empat penjuru bakal dilihat di bahagian Bukit Bintang, dengan Naib Presiden PKR K Saraswathy dan G Sivamalar, pembantu kanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

C Kishore Kumar, penyandangnya, dijangka berdepan kesukaran mempertahankan jawatan itu dengan persaingan daripada Sivamalar dan Saraswathy, yang merupakan timbalan menteri. Calon keempat untuk jawatan itu ialah Anwar Pawan Chik.

PKR akan mengadakan pemilihan bagi pimpinan jawatankuasa bahagian dan pusat masing-masing pada April dan Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.