
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera manakala bagi individu yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera, pemakluman akan dibuat melalui pesanan ringkas atau panggilan telefon oleh pusat pemberian vaksin (PPV).
“Pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Objektif pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 ialah untuk memastikan tempoh perlindungan yang optima diperoleh oleh penerima vaksin Covid-19 di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Khairy berkata, pemberian dos penggalak akan diterajui oleh klinik swasta bawah penyelarasan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.
Katanya, pemberian vaksin di klinik swasta adalah bagi anggota barisan hadapan serta warga emas manakala bagi anggota barisan hadapan membabitkan tentera, pemberian vaksin dibuat di fasiliti kesihatan angkatan tentera.
“Fasiliti kesihatan kerajaan memberikan vaksin kepada anggota kesihatan masing-masing. Anggota kesihatan swasta boleh mendapatkan dos penggalak daripada fasiliti masing-masing bergantung kepada persetujuan Jabatan Kesihatan Negeri,” katanya.
Khairy berkata, dos penggalak melibatkan penerima dos lengkap vaksin Comirnaty keluaran syarikat Pfizer BioNTech dahulu, di mana individu tersebut akan menerima vaksin yang sama kerana hanya vaksin berkenaan yang telah mendapat kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 8 Okt 2021.
Dos penggalak vaksin berlainan
Sementara itu, beliau berkata, KKM juga merancang memulakan kajian pemberian dos penggalak bagi jenis vaksin yang berlainan dilaksanakan di Sarawak November ini dan akan diperluaskan ke negeri lain.
Mengulas lanjut, beliau berkata pemberian dos tambahan juga akan diberi kepada individu yang mempunyai imuniti rendah seperti pesakit kanser, penerima organ, pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis dan sebagainya.
“Dos tambahan ini diberikan sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos lengkap vaksin Covid-19.
“Pemilihan vaksin bergantung kepada kelulusan indikasi penggunaan oleh pakar perubatan merawat serta bekalan vaksin yang tersedia sama ada daripada jenis yang sama atau berlainan dengan dos terakhir,” katanya.
Terdahulu, Sarawak dilaporkan sebagai negeri pertama memberi suntikan dos penggalak, dan setakat 12 Okt, sebanyak 94.9% populasi dewasa telah menerima satu dos vaksin Covid-19 manakala 90.6% populasi dewasa telah menerima dos lengkap.