
Pemberian wang tunai akan memberi rakyat kecairan yang perlu untuk mereka berbelanja, menjana perniagaan dan pendapatan bagi syarikat yang mengalami aliran tunai yang perlahan selama beberapa bulan.
Felo Indo-Pasifik di Perth USAsia Center Juita Mohamad berkata, bantuan yang disasarkan akan lebih berkesan daripada pengecualian bayaran faedah atau pengurangan kos pinjaman.
“Pemberian wang yang disasarkan kepada kumpulan rentan adalah cara terbaik untuk memberikan kecairan kepada isi rumah, tetapi kumpulan dan jumlah yang diberikan perlu dinilai dengan teliti bagi memastikan keberkesanan program.
“Sekiranya pengecualian faedah ketika moratorium dimaksudkan untuk membantu isi rumah rentan, bantuan bersasar untuk isi rumah ini lebih efektif daripada mengganggu ‘kesihatan’ bank untuk jangka masa pendek dan sederhana, mempengaruhi pendapatannya dan tidak dapat mengelak daripada mempengaruhi dividen kepada pelabur daripada kumpulan isi rumah yang berbeza,” katanya.
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, rangsangan tunai boleh membantu rakyat yang terkesan memilih bagaimana mereka menentukan keperluan khusus.
“Semua orang terkesan dalam pelbagai cara dan keadaan kerana krisis dan mereka perlu diberikan bantuan tunai terus untuk dibelanjakan untuk keperluan khusus mereka.
“Kerajaan sepatutnya memberikan RM1,500 setiap bulan kepada setiap isi rumah B40 dan M40 secara terus bagi membolehkan mereka memulihkan kewangan sebagaimana yang mereka mahukan.
“Jika mereka mahu bayar semula pinjaman, benarkan mereka berbuat demikian. Jika mereka mahu membayar bil dan sewa, benarkan mereka. Jika mereka mahu membina semula simpanan, benarkan mereka lakukannya,” tambah beliau.