Terajui perubahan dalam dunia bergerak pantas, graduan diberitahu

Terajui perubahan dalam dunia bergerak pantas, graduan diberitahu

Mereka yang mempunyai corak pemikiran 'menyelesaikan masalah' dapat bertahan dalam sebarang industri, kata Pengarah Urusan FMT, Azeem Abu Bakar.

Azeem Abu Bakar, Najmie Noordin and Nadiah Tan Abdullah menggesa graduan mencari pengalaman baharu apabila mendapat peluang.
PETALING JAYA:
Keupayaan menyesuaikan diri dan ketangkasan tidak lagi cukup di tempat kerja yang berubah dengan pantas dan graduan Malaysia mesti berkebolehan menerajui perubahan untuk mengekalkan kebolehpasaran dalam industri.

Bercakap pada persidangan maya “Minds for Malaysia: Bridging the skill gap” hari ini, Pengarah Urusan FMT, Azeem Abu Bakar berkata, kemampuan menerajui perubahan boleh menjadi set kemahiran penting bagi graduan dalam era pasca-wabak.

“Keadaan sentiasa beralih dan berubah. Contohnya wabak Covid-19.

“Graduan mesti mampu menyelesaikan masalah,” katanya.

Azeem berkata, mereka yang mempunyai corak pemikiran “menyelesaikan masalah” dapat bertahan dalam sebarang industri.

“Cari masalah untuk diselesaikan dan selebihnya akan selesai juga, lama-kelamaan anda akan terajui perubahan.

“Negara kita tidak lagi berkembang pada kadar sebelum ini. Kita tiada syarikat multinasional berteknologi tinggi untuk memacu ekonomi seperti Korea Selatan yang dipacu Samsung, LG, KIA dan Hyundai.

“Oleh itu, permintaan bagi Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) di negara kita belum cukup kukuh,” katanya sambil menambah graduan perlu menyedari keadaan ini dan bertindak sewajarnya.

“Hanya graduan dengan corak pemikiran sebegini dapat menjadi ‘jack of all trade, master of all’.”

Senator Alkaf Abdillah Suffian dalam ucaptamanya berkata, pelajar mesti mempunyai corak pemikiran tepat untuk terus relevan dalam dunia yang bergerak pantas ini.

“Mereka perlu melengkapkan diri dengan kemahiran abad ke-21 dan dapat menyesuaikan diri dengan masa depan,” katanya.

Seorang lagi panelis, Ketua Pegawai Eksekutif Cosmopoint Group of Colleges, Najmie Noordin berkata sistem pendidikan semasa terlalu kaku dan tidak mempersiapkan pelajar bagi dunia yang berubah dengan pantas.

Katanya, sistem pendidikan hanya melahirkan pelajar yang bagus di atas kertas.

“Ketangkasan dan keupayaan menyesuaikan diri bukanlah sesuatu yang dapat dilihat di atas kertas.

“Universiti mesti menyediakan kursus dan program yang mendapat permintaan bagi pasaran kerja semasa dan masa depan. Itu caranya untuk mula melahirkan graduan yang boleh diambil bekerja.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Sumber Manusia SP Setia Berhad, Nadiah Tan Abdullah berkata, pelajar tidak patut takut mendedahkan diri kepada peluang baharu.

“Orang muda sepatutnya dahagakan peluang. Anda mesti belajar merebut apa sahaja peluang yang ada. Inilah masanya untuk mencari pengalaman baharu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.