
Ketika meronda kawasan laut terbabit, anggota PPM Kudat mengesan sebuah bot pam yang disyaki membawa muatan barang kawalan menuju ke sempadan negara.
Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Cyrill Douglas berkata, anggotanya segera mengekori bot itu untuk melakukan pemeriksaan.
Tetapi, katanya, dua lelaki yang menyedari kehadiran pihak berkuasa segera melarikan diri ke kawasan darat Pulau Malawali.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot itu menemui barang kawalan yang disyaki hendak dibawa ke Filipina.
“Antara barang kawalan yang dirampas ialah minyak masak, petrol dan tong gas yang dianggarkan berjumlah RM17,658,” katanya dipetik Harian Metro.
Beliau berkata, bot dan barang kawalan yang dirampas itu dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau mengalu-alukan komuniti maritim melaporkan sebarang aktiviti melanggar undang-undang dengan menghubungi Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 atau menerusi aplikasi WhatsApp.