
Ahmad Effie Ahmad Shazaki mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Mahyon Talib.
Lelaki berusia 26 tahun itu didakwa bersama-sama dua lagi individu yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan menggunakan sebilah kapak, tukul dan parang di sebuah premis kedai emas di Wangsa Maju pada 4.43 petang, 16 Mei lepas, melibatkan kerugian berjumlah RM600,000.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama 397 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun jika mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mengesyorkan jaminan RM30,000.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana perlu menanggung keluarga.
Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Nov.