PH, 4 ADUN mohon Agong nasihat Ali Rustam tarik balik bubar DUN Melaka

PH, 4 ADUN mohon Agong nasihat Ali Rustam tarik balik bubar DUN Melaka

Yang Dipertua Melaka Mohd Ali Mohd Rustam membubarkan DUN Selasa lalu selepas empat ADUN menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari mengesahkan surat itu yang dihantar kepada Agong. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi Pakatan Harapan Melaka Adly Zahari bersama empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung pembubaran DUN.

Mereka yang turut mewakili 15 ADUN meminta baginda menasihati Yang Dipertua Negeri Mohd Ali Mohd Rustam menarik balik tindakan membubarkan DUN Melaka.

Surat itu disahkan oleh Adly.

Selasa lalu, Ali membubarkan DUN selepas empat ADUN menarik balik sokongan terhadap Sulaiman, meninggalkan pemerintahannya dengan hanya 13 kerusi di dewan yang mempunyai 28 kerusi.

Surat itu menyatakan bahawa berdasarkan perkara 8.2(b) Perlembagaan Negeri Melaka, Yang Dipertua Negeri tidak mempunyai budi bicara untuk mempersetujui permintaan Sulaiman untuk membubarkan DUN.

Menurut mereka, pembubaran itu harus dielakkan kerana akan membuka laluan untuk pilihan raya negeri (PRN) diadakan ketika usaha membendung Covid-19 masih dijalankan, ditambah pula negara masih dalam fasa pemulihan.

“Ini akan mengancam nyawa rakyat dan ekonomi negara pada ketika pandemik Covid-19 belum lagi terkawal dengan sepenuhnya”.

Kata mereka, Yang Dipertua Negeri seharusnya terlebih dahulu memanggil 28 ADUN untuk mengesahkan kehilangan majoriti, dan untuk mengesahkan sokongan untuk calon Ketua Menteri PH.

Proses itu juga tidak harus tergesa-gesa ketika Yang Dipertua Negeri sedang dalam tempoh kuarantin bermula 30 September hingga 7 Oktober, kata mereka.

Surat itu juga menyatakan bahawa Yang Dipertua Negeri berhak menolak nasihat Sulaiman kerana Melaka bukan lagi bawah pimpinannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.