
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi (MUST), berkata, langkah itu perlu dibuat bagi membuktikan mereka tidak mempunyai sebarang konflik kepentingan.
Katanya, beliau bimbang mengenai kemungkinan berlakunya pengelakan cukai oleh mereka yang mempunyai akaun luar pesisir.
“Ia harus melibatkan semua termasuk mereka yang dikaitkan dengan perbuatan mengelak cukai dan mendapat manfaat daripada aktiviti haram, termasuk ahli keluarga dan rakan perniagaan,” katanya.

Williams turut bercakap mengenai kemungkinan ahli politik terbabit menggunakan “pilihan cukai yang rendah” menerusi akaun luar pesisir, namun menjelaskan ia tidak menjadi masalah sekiranya transaksi itu tidak digunakan untuk menyembunyikan dana atau sumber pendapatan.
“Jika terdapat pendedahan mengenai masalah kewangan, apa yang mereka lakukan dengan wang itu adalah masalah mereka sendiri,” katanya kepada FMT.
“Sekiranya mereka menggunakan pilihan cukai yang rendah atau pelaburan luar pesisir, sepatutnya tidak perlu ada campur tangan sekiranya mereka mematuhi undang-undang dan membayar cukai.
“Secara keseluruhannya, rakyat bersikap adil dan mengiktiraf bahawa perkhidmatan awam harus dihargai. Apa yang menjadi masalah ialah apabila berlakunya percubaan untuk menyembunyikan sesuatu.”
Katanya, penggunaan akaun luar pesisir untuk menyembunyikan dana dan pendapatan boleh dianggap sebagai perbuatan mengelak cukai.
“Risikonya amat rendah dan berbaloi dari segi kewangan.”

Williams berkata, satu-satunya cara untuk mencegah aktiviti pengelakan cukai ialah dengan mengenakan hukuman penjara yang berat dan penguatkuasaan yang berkesan.
Seorang lagi ahli ekonomi, Fatimah Mohamed Arshad berkata, ahli politik perlu berundur sekiranya mahu mempunyai akaun luar pesisir memandangkan mereka mempunyai tanggungjawab kepada rakyat.
Katanya, isu asas ialah mereka mempunyai “aktiviti tambahan” yang mungkin melibatkan rasuah.
“Aktiviti ini harus dikekang. Sebarang kekayaan luar biasa dan melampau perlu diaudit,” katanya.
Fatimah mendakwa kronisme dan memegang terlalu banyak kuasa mendorong amalan mengayakan diri sendiri dalam kalangan ahli politik dan pegawai kerajaan di semua peringkat.
“Melihat kepada budaya rasuah yang telah berakar ini, satu undang-undang perlu diperkenalkan untuk mengekangnya. Sebaik masalah ini dikurangkan, kita boleh meneliti semula isu yang berlaku,” katanya.