Kotak Pandora, Sungai Rubicon dan Hukum Newton

Kotak Pandora, Sungai Rubicon dan Hukum Newton

Apa berlaku usai tersiar episod 177 podcast KS boleh dirujuk kepada Hukum Newton III - untuk setiap aksi pasti ada reaksi yang sama besar dari berlawanan arah.

Mohsin Abdullah

Dalam mitologi Yunani, Pandora adalah wanita pertama di bumi. Dewa Zeus memberinya sebuah kotak dan menyuruh jangan dibuka kotak itu. Di dalam kotak itu terdapat semua masalah dunia termasuk kematian. Namun, Pandora buka juga kotak. Lalu masalah pun terlepas dan menjangkiti dunia. Dikisahkan sebenarnya Zeus beri kotak itu dengan harapan Pandora akan membukanya sehingga melepaskan masalah ke dunia.

Bagi wartawan veteran A Kadir Jasin episod podcast Keluar Sekejap (KS) kendalian Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan tempoh hari telah buka kotak Pandora. Episod itu mengemukakan Naimah Abdul Khalid, balu Daim Zainuddin sebagai tetamu.

Saya tanya Kadir mengapa guna frasa ‘KS buka Kotak Pandora’ sebagai tajuk catatannya di Facebook. Jawab beliau melalui WhatsApp ringkas: “Buka rahsia tentang keburukan Anwar”. Yakni Anwar Ibrahim.

Sesungguhnya respons Naimah terhadap pertanyaan Khairy dan Shahril banyak mendedahkan kelemahan Anwar (atau bak kata Kadir keburukan) terutama semasa memegang jawatan menteri kewangan pada zaman pemerintahan BN pimpinan Dr Mahathir Mohamad dulu.

Antaranya, Naimah mendakwa Anwar tidak baca laporan ekonomi berbanding suaminya semasa menjadi menteri kewangan. Beliau juga memberitahu selain membaca semua laporan Daim mengikuti pasaran saham sehingga lewat malam. Saya kira ini merujuk pasaran antarabangsa yang sedang aktif pada waktu Malaysia sudah lewat malam.

Naimah menceritakan juga perjalanan hidup Daim daripada seorang anak kampung di Kedah sehingga menceburi pelbagai bidang perniagaan yang ketika itu dimonopoli orang asing. Daim juga kata Naimah banyak membantu peniaga kecil Melayu.

Balu Daim mengesahkan suaminya mempunyai hubungan baik dengan Anwar walaupun perdana menteri dilihat sentiasa menyasarkan Daim yang membawa kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga ke akhir hayatnya. Antara tuduhan ialah Daim mengumpul harta secara haram.

Menjawab pertanyaan Khairy mengenai kes SPRM terhadap suami dan dirinya sendiri, Naimah mendakwa badan siasatan itu ‘tidak ada kes’. Katanya, apabila Daim menulis surat kepada SPRM bertanya apa yang mereka siasat yang menuntut pengisytiharan harta, SPRM menurut Naimah tidak beri jawapan selain berkata ‘rahsia’.

Kesimpulannya, podcast KS hari itu ‘is not flattering for Anwar’. Sekadar menggunakan istilah lembut. Kata Kadir selaku tuan rumah Khairy dan Shahril banyak bertanya ‘soalan maut’ melibatkan perdana menteri yang beliau yakin ‘ramai penonton hendak tahu’.

Kata Kadir lagi: “Nampak seolah-olah Khairy sudah menyeberang Sungai Rubicon dalam perhubungan dengan Anwar. Kalau Anwar bawa juga beliau masuk Kabinet seperti yang dikhabar anginkan memang luar biasa”.

Frasa ‘crossing the Rubicon’ ialah satu idiom yang bermaksud seseorang sudah melepasi satu titik yang tidak boleh patah balik. Ini merujuk tindakan Julius Caesar menyeberangi Sungai Rubicon pada tahun 49 sebelum Masihi. Waktu itu membawa tentera masuk ke Itali adalah haram. Tindakan Caesar melintasi Rubicon dengan bersenjata adalah pengisytiharan perang terhadap negara.

Apa pun episod KS tempoh hari mendapat perhatian ramai. Lihat sahaja komen di media sosial. Sedutan siaran turut dipersembahkan. Menerusi Facebook kawan lama saya – bekas wartawan sukan Berita Harian Nasir Ahmad berkata: “Dua tiga hari ni nama arwah Daim tetiba jadi sebutan – sebutan atas sebab yang betoi.” Kawan saya orang utara.

Kata beliau lagi: “Aku sokong arwah sejak hari pertama dilantik menteri kewangan pada 14 Julai 1984. Pada aku pemimpin hebat bukan kerana bercakap pung pang pung pang tetapi tenang dalam semua keadaan.”

Bagaimanapun, aktivis media Fathi Aris Omar beberapa hari lalu mengingatkan ‘followers’ dan pengunjung laman Facebook beliau mengenai langkah pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah pada Jun 2020 menerbitkan semula surat yang asalnya ditulis oleh Marina Yusof semasa menjadi ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno. Ia disiar di Facebook Tengku Razaleigh.

Surat bertarikh 14 April 1987. Diberi tajuk ‘Fleet Holdings Sdn Bhd’. Ia ditujukan kepada Mahathir yang ketika itu presiden Umno sekali gus
perdana menteri. Dikatakan Marina tidak berjaya bersemuka dengan Mahathir meskipun mencuba berbuat demikian beberapa kali. Lantas terpaksa ‘berkomunikasi menerusi surat’.

Melalui surat itu Marina bertanya kedudukan aset Umno yang tidak dijawab. Surat diutus kerana ada dakwaan salah laku Daim selaku bendahari Umno. Panjang kandungan surat itu.

Fathi tidak pasti mengapa Tengku Razaleigh menyiarkan semula surat 1984 pada 2020. Tetapi, kata Fathi beliau tahu akan nama syarikat yang disebut dalam surat itu.

Tidak dapat saya pastikan kesahihannya. Tetapi ia mengingatkan saya akan pelbagai tuduhan ke atas Daim waktu itu. Allahyarham Daim dan Mahathir menafikan semua tuduhan.

Selain itu, Fathi turut mengulas buku berjudul Muslihat Mahathir terjemahan buku Malaysia Maverick tulisan Barry Wain bekas editor Asian Wall Street Journal pada 2009. Tumpuan diberi kepada bab lima, enam dan tujuh.

Antara yang diulas kemunculan ‘proxy’ dan ‘nominee’, tuduhan aset syarikat Umno berpindah kepada orang yang sokong Mahathir dan Daim ketika Umno diharamkan pada 1988.

Juga diulas tuduhan akaun dikawal rapi oleh presiden dan bendahari. Pemimpin tertinggi lain tidak tahu butirannya. Turut mendapat perhatian – dakwaan yang timbul ketika krisis Umno ‘team A’ pimpinan Mahathir lawan ‘team B’ diketuai Tengku Razaleigh. Team B tuduh Daim ‘lapah duit Umno untuk kepentingan peribadi’.

Dan didakwa juga apabila Daim melepaskan jawatan bendahari pada 2001 ramai orang Umno tuduh kononnya Daim gelapkan berbilion duit Umno. Semua ini dinafi keras oleh Mahathir dan Daim.

Saya tanya Fathi mengapa memilih untuk ‘highlight’ buku Wain sekarang. Ada kaitan dengan episod KS tempoh hari? Jawab beliau ‘not to respond but to ride on the issue’. Beliau pernah ulas beberapa buku seperti ini tulisan Edmund Terence Gomez dan Jomo KS tetapi waktu itu kurang ‘interest’. masyarakat .

Sekarang “I want to raise the old issues of governance and money politics during those days,” katanya.

Cukup setakat itu walaupun panjang lagi penjelasannya. Namun, hakikatnya Fathi menyarankan sesiapa yang berminat untuk baca sendiri buku yang diulas dan buat kesimpulan sendiri. Memang ‘there are two sides of a coin’.

Bagi saya, apa yang berlaku setelah tersiarnya episod 177 podcast KS boleh dirujuk kepada Hukum Newton III yang menyatakan bahawa untuk setiap aksi pasti ada reaksi yang sama besar dari berlawanan arah.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.