Najib tegas sudah pulang baki dana USD629 juta dengan kelulusan BNM

Najib tegas sudah pulang baki dana USD629 juta dengan kelulusan BNM

Bekas perdana menteri berkata, dana untuk tujuan politik dan kebajikan sosial itu tidak digunakan sepenuhnya.

NAJIB RAZAK
Bekas perdana menteri Najib Razak berdepan 4 tuduhan guna kedudukan untuk dapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.
PUTRAJAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia telah memulangkan semula dana berjumlah USD620 juta yang tidak digunakan daripada sumbangan diterimanya kepada akaun asal, selepas mendapatkan kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam kenyataan lisannya sebelum hujahan pihak pembelaan, Najib berkata, dana yang menjadi tumpuan meluas media itu telah digunakan bagi tujuan politik dan kebajikan sosial.

Najib turut menegaskan dia tidak mempunyai sebarang akaun luar pesisir.

“Perkara yang mengejutkan ialah saya sebenarnya telah memulangkan USD620 juta kepada akaun asal, kerana dana itu tidak digunakan sepenuhnya,” katanya di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

“Sebelum memulangkan sumbangan yang tidak digunakan itu, saya telah menulis surat kepada gabenor BNM ketika itu, Zeti Akhtar Aziz, bagi mendapatkan kelulusan Bank Negara.”

Menurut Najib, beberapa individu yang dikaitkan dengan 1MDB, termasuk bekas ketua pegawai eksekutif Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman, bekas pembantunya Amhari Effendi Nazaruddin serta bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, telah melakukan urus niaga meragukan melibatkan ratusan juta dolar AS tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Dia mendakwa, walaupun terlibat dalam salah laku tersebut, individu-individu berkenaan tetap dilayan sebagai saksi yang dipercayai oleh pihak pendakwaan, sedangkan dia didakwa di mahkamah.

Terdahulu, peguam Najib, Shafee Abdullah memaklumkan kepada mahkamah, pihak pembelaan telah menyediakan tujuh jilid hujahan bertulis bagi kes berkaitan 1MDB membabitkan bekas perdana menteri itu, yang akan dikemukakan sepanjang tempoh sembilan hari.

Pada 6 Mei, pihak pembelaan dalam kes Najib yang melibatkan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion, menutup kes mereka selepas memanggil 26 orang saksi.

Mahkamah menetapkan sembilan hari bermula hari ini untuk mendengar hujahan lisan.

Najib, 72, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi 21 tuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda sehingga RM5 juta, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan dalam perbicaraan jenayah berasingan melibatkan penyelewengan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Najib memohon Pengampunan Diraja pada 2 Sept 2022, yang membawa kepada pengurangan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Perbicaraan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.