
Badan pemerhati pilihan raya itu berkata, bagi memastikan kestabilan politik, undi tidak percaya secara konstruktif juga perlu diperkenalkan, iaitu Ketua Menteri hanya boleh diganti apabila sudah ada calon baharu yang mendapat majoriti.
“Untuk PRN yang dijangka akan berlaku, Bersih 2.0 mendesak perkara berikut dimasukkan oleh parti politik ke dalam manifesto pilihan raya untuk memperkasakan institusi.
“Meminda perlembagaan negeri untuk memperkenalkan undi percaya kepada Ketua Menteri baharu di hari pertama sidang DUN.
“Menggubal Enakmen Pecat ADUN untuk memberi kuasa kepada rakyat memecat ADUN lompat parti atau parti-parti yang terus-menerus berubah gabungan,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Bersih turut mencadangkan agar undang-undang digubal untuk menyalurkan peruntukan pembangunan kawasan yang adil dan saksama kepada semua ADUN.
Semalam, Yang Dipertua DUN Melaka Ab Rauf Yusoh mengumumkan DUN dibubarkan dan PRN akan diadakan berikutan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali hilang sokongan majoriti ADUN.
Pembubaran ini yang dipersetujui Yang Dipertua Negeri Mohd Ali Rustam dilihat sebagai jalan keluar untuk mengatasi kemelut politik semasa di Melaka dan membentuk kerajaan negeri baharu menerusi pilihan raya.
Ini susulan pengumuman bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron daripada Umno bersama-sama tiga lagi ADUN bahawa mereka hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
“Penarikan sokongan empat ADUN tersebut menunjukkan bahawa kesan Langkah Sheraton masih berlanjutan disebabkan kita tidak mempunyai undang-undang yang berkesan untuk mencegah gejala tersebut daripada terus berlaku,” kata Bersih.