Penyalahgunaan media sosial: 86 kertas siasatan dibuka, kata timbalan menteri

Penyalahgunaan media sosial: 86 kertas siasatan dibuka, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata, kebanyakannya melibatkan penghinaan institusi diraja, agama dan bangsa.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mewujudkan jawatankuasa untuk menangani berita palsu serta mengesan hantaran sensitif di media sosial. (Gambar Freepik)
KUALA LUMPUR:
Lapan puluh enam kertas siasatan dibuka oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak 2018 kerana penyalahgunaan media sosial, Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata, kebanyakan kesalahan itu melibatkan penghinaan terhadap institusi diraja, agama dan kaum.

Ahli Parlimen Padang Besar itu berkata, kementeriannya akan terus mengambil tindakan terhadap aduan yang diterima.

Satu jawatankuasa juga diwujudkan untuk menangani berita palsu dan mengesan hantaran berkaitan isu sensitif melibatkan kaum, agama dan institusi diraja, katanya.

Dalam ucapan penggulungan Rancangan Malaysia ke-12 bagi kementerian itu Zahidi berkata, pemaju juga perlu menyediakan infrastruktur digital di tapak pembinaan baharu untuk memastikan perniagaan dan penduduk mempunyai akses internet sebaik berpindah ke situ.

Tambahnya, 94% rakyat Malaysia menikmati liputan internet, kecuali mereka yang berada di lokasi bergunung atau kurang penduduk seperti di Sarawak.

“Ada kawasan yang mempunyai liputan tetapi ketersambungannya lemah. Apabila terlalu ramai pengguna, sambungannya menjadi perlahan.”

Kadangkala infrastruktur dirosakkan seterusnya mengakibatkan gangguan internet.

Pihak berkuasa turut berdepan masalah untuk mendapat izin pemilik tanah bagi membina menara telekomunikasi di kawasan tertentu, khususnya melibatkan tanah milikan peribadi.

Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) kemudian mencelah dengan meminta kerajaan melihat kepada ketersambungan satelit, bukan sekadar membina menara komunikasi bagi memperbaiki khidmat internet.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.