Insiden tembakan: TUDM kemas kini SOP kendalian senjata

Insiden tembakan: TUDM kemas kini SOP kendalian senjata

Ia antara elemen yang dikaji lembaga penyiasatan yang ditubuhkan TUDM bagi mengelakkan insiden 13 Ogos lepas berulang, kata Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Dalam kejadian 13 Ogos lepas, empat anggota TUDM maut dalam insiden tembakan di Balai Pengawal Handau Skuadron 330, Kem TUDM Kota Samarahan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tentera Udara Diraja (TUDM) akan menambah baik dan mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) pengendalian dan pengurusan senjata susulan insiden tembakan membabitkan empat anggotanya di Kem TUDM, Kota Samarahan, Kuching, Sarawak, pada Ogos.

Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, perkara itu adalah antara elemen yang dikaji dan disiasat oleh lembaga penyiasatan yang ditubuhkan TUDM bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Beliau berkata, insiden itu adalah kes yang terpencil kerana dalam situasi latihan atau urusan melibatkan senjata api, ia tak boleh diambil atau digunakan sewenang-wenangnya.

“Apa yang berlaku itu (tembakan) amat dikesali dan tidak dijangka …insya-Allah, Panglima TUDM (Jen Ackbal Abdul Samad) akan memaklumkan hasil siasatan lembaga berkenaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) mengenai langkah kementerian untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

Ikmal Hisham berkata, kementerian turut menyediakan perkhidmatan psikologi dan kaunseling untuk semua anggotanya sejajar keperluan ATM mencegah isu tekanan mental yang boleh menjejaskan kesiapsiagaan mereka, termasuk pihak yang terlibat dalam insiden itu.

“Insiden berkenaan juga sememangnya memberi kesan trauma kepada anggota pasukan itu dan keluarga anggota terlibat.

“Pasukan psikologi dan kaunseling yang dihantar TUDM amat membantu menenangkan mereka dan ahli keluarga terlibat.

“Sehingga kini, pemantauan secara berkala masih dilakukan.” katanya menjawab soalan asal Rubiah berhubung usaha memastikan tahap kesihatan mental anggota dan pegawai tentera dalam keadaan baik.

Dalam kejadian 13 Ogos lepas, empat anggota TUDM maut dalam insiden tembakan di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.