Kes ahli perniagaan maut jatuh kondo diklasifikasi mati mengejut

Kes ahli perniagaan maut jatuh kondo diklasifikasi mati mengejut

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan dan tiada unsur jenayah dikesan dalam kes kematian mangsa.

Seorang ahli perniagaan ditemukan mati dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium di Jalan Kelawai hari ini. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Polis mengklasifikasikan kes seorang ahli perniagaan yang ditemukan mati dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium di Jalan Kelawai awal pagi tadi sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong, berkata setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan dan tiada unsur jenayah dikesan dalam kes kematian mangsa.

“Setakat ini, polis menjalankan siasatan kes itu sebagai SDR dan siasatan awal menunjukkan tiada unsur jenayah namun kami menunggu laporan bedah siasat sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, mayat mangsa yang berusia 53 tahun dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) dan proses bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi tadi, mayat mangsa ditemukan oleh pengawal keselamatan dalam kolam renang di kondominium itu dengan kesan kecederaan parah pada keseluruhan badan dipercayai akibat terjatuh dari tingkat 16, unit kondominiumnya.

Soffian berkata, pengawal keselamatan itu memaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa kepada ahli keluarganya sebelum menghubungi polis.

Menurut Soffian mangsa tinggal bersama isteri dan dua anaknya iaitu seorang lelaki dan seorang perempuannya di unit kondominium itu.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai identiti mangsa yang dikatakan antara saksi utama kes pendakwaan projek pembinaan terowong dasar laut turut memaklumkan bahawa identiti lelaki itu akan didedahkan selepas bedah siasat selesai dijalankan.

“Ketika polis sampai ke lokasi kejadian, lelaki itu telah pun meninggal dunia dan ketika ini kami masih menjalankan siasatan mengenai identiti mangsa serta punca kejadian tersebut.

“Isteri mangsa masih berada dalam keadaan trauma, setakat ini polis belum dapat menyoal siasat isteri dan ahli keluarga mangsa dengan lanjut,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Jabatan Forensik HPP mendapati terdapat beberapa individu dipercayai ahli keluarga dan kenalan mangsa namun, enggan mengulas lanjut ketika ditemui media.

Tinjauan di kawasan kondominium mangsa juga mendapati pasukan forensik polis berada di lokasi kejadian dan menjalankan pemeriksaan di situ.

Terdahulu, tular di media sosial yang mendakwa seorang lelaki bergelar Datuk dan saksi kes rasuah berhubung projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang, ditemukan mati dipercayai akibat terjatuh dari kondominiumnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.