Budak 7 tahun ditemukan lemas dalam takungan air

Budak 7 tahun ditemukan lemas dalam takungan air

Mangsa berbangsa Iban ditemukan di dasar takungan air sedalam 5m berhampiran lampu isyarat di Jalan Celestine Ujang, Bintulu.

Mayat seorang budak lelaki 7 tahun ditemukan lemas di dalam takungan air terletak lebih kurang 50m dari kawasan rumah pekerja. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang budak lelaki berusia 7 tahun ditemukan lemas di sebuah takungan air berhampiran lampu isyarat Spait, Jalan Celestine Ujang di Bintulu semalam.

Ketua Polis Bintulu Nixon Joshua Ali berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang bapa yang memaklumkan anaknya hilang berhampiran simpang jalan masuk Taman Seri Pelabuhan lebih kurang 8.30 malam tadi.

Katanya, pasukan polis bersama Unit MPV IPD Bintulu serta pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu kemudian digerakkan ke lokasi untuk membantu pencarian kanak-kanak itu.

“Mangsa berbangsa Iban ditemui di dasar takungan air berkedalaman 5m, terletak lebih kurang 50m dari rumah pekerja Fully Contractor Workshop.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah pada tubuh mangsa,” katanya menambah, pegawai perubatan dari Hospital Bintulu mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, lapor Bernama.

Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berhubung kejadian kepada Bilik Gerakan IPD di talian 086-318304.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.