Mungkin lebih banyak laporan ‘Pandora Papers’ diterbitkan, kata ICIJ

Mungkin lebih banyak laporan ‘Pandora Papers’ diterbitkan, kata ICIJ

ICIJ sedang teliti 12 juta dokumen, tidak tolak kemungkinan lebih banyak nama terkemuka lain akan didedahkan dalam masa beberapa hari, bulan atau tahun lagi.

Semalam, ICIJ menerbitkan siri ‘Pandora Papers’ yang pertama mengenai rahsia kewangan yang didakwa membabitkan lebih 35 pemimpin dunia, serta lebih 330 ahli politik dan pegawai dari seluruh dunia. (Gambar ICIJ)
PETALING JAYA:
Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) tidak menolak kemungkinan lebih banyak pendedahan akan dibuat mengenai skim luar pesisir yang digunakan golongan terkaya dan paling berkuasa di dunia dalam masa beberapa hari, bulan, malah tahun lagi memandangkan kumpulan berkenaan masih meneliti 12 juta dokumen.

Semalam, ICIJ menerbitkan siri “Pandora Papers” yang pertama mengenai rahsia kewangan yang didakwa membabitkan lebih 35 pemimpin dunia semasa dan terdahulu, serta lebih 330 ahli politik dan pegawai dari seluruh dunia.

Bernama memetik jurucakap ICIJ di Washington sebagai berkata: “Kami berniat untuk terus menerbitkan (siasatan) dalam masa beberapa hari, bulan dan mungkin tahun lagi. Ada 12 juta dokumen, jadi saya pasti akan ada lagi laporan akan datang.”

Jurucakap itu memberitahu Sputnik, agensi berita Rusia, bahawa ICIJ juga terbuka terhadap idea bahawa nama-nama terkemuka baharu mungkin muncul sepanjang siasatan ini.

“Bergantung kepada apa yang ditemui. Apa yang dapat saya beritahu adalah kami mengambil masa dua tahun untuk mendapatkan 35 (nama) yang ada. Kami mungkin temui lebih banyak (nama) tetapi tidak tahu (bila).”

Menurut Bernama, ICIJ menyifatkan “Pandora Papers” yang baru diterbitkan itu sebagai “pendedahan kerahsiaan kewangan yang paling meluas”, dengan berkata, siasatan itu melibatkan lebih 600 wartawan dari 117 negara.

Pendedahan “Pandora Papers” dibuat lima tahun selepas ICIJ menerbitkan “Panama Papers”, yang memetik dokumen didakwa milik firma undang-undang Panama, Mossack Fonseca, bagi menegaskan bahawa beberapa pemimpin negara dan orang kepercayaan mereka menggunakan perbankan luar pesisir untuk menyembunyikan kekayaan.

Keaslian data ini tidak pernah disahkan, dengan Mossack Fonseca menolak untuk mengesahkannya dan menuduh wartawan-wartawan melakukan jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.