
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Raymon Ram, berkata ia mungkin sukar untuk mendapatkan kelulusan parlimen kerana mekanisme itu sendiri akan menjejaskan prinsip undang-undang asas.
“Ahli Parlimen yang mungkin tertakluk kepada UWO mungkin mengundi menentang undang-undang sedemikian,” katanya kepada FMT.
Raymon menjelaskan, di bawah UWO, beban pembuktian dialihkan kepada individu untuk mewajarkan kekayaan mereka. Ini bercanggah dengan prinsip undang-undang asas, termasuk anggapan tidak bersalah, tambahnya.

Di bawah prinsip undang-undang yang ditetapkan, beban pembuktian biasanya terletak pada pihak yang menuntut atau pendakwa, dan setiap individu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
Bagaimanapun, Raymon mengakui UWO mempunyai ‘potensi luar biasa’ dalam bidang pemulihan aset dan boleh melengkapkan undang-undang seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Beliau berkata mana-mana undang-undang yang digubal harus merangka UWO sebagai mekanisme sivil — serupa dengan model UK — untuk mengelakkan potensi cabaran perlembagaan, sambil melengkapkan agensi penguatkuasaan dengan kuasa yang bermakna.
Beliau juga berkata bahawa terdapat keperluan bagi pengawasan kehakiman untuk mencegah penyalahgunaan.
“Sistem UWO baharu mesti dibina dengan pemeriksaan dan ketelusan supaya ia tidak digunakan sebagai senjata terhadap lawan politik,” kata Raymon.
Pada Sabtu, bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang UWO bagi menangani kekayaan diperolehi secara haram dan rasuah sistemik di kalangan golongan elit.
Beliau berkata UK memperoleh semula £62.9 juta (RM390 juta) dalam setahun melalui perintah itu dan tindakan sivil berkaitan.
Memetik anggaran rasmi, Santiago berkata Malaysia kerugian RM277 bilion akibat penipuan, penyalahgunaan perolehan dan aliran haram antara 2018 dan 2023, atau RM55 bilion setiap tahun, yang mungkin membiayai sekolah, hospital dan bantuan makanan.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Pushpan Murugiah mengingatkan bahawa UWO bukan satu-satunya penyelesaian untuk masalah berkaitan rasuah.

“UWO tidak membendung rasuah dengan menghalang pelakuan rasuah atau menangani punca rasuah. Ia hanya menyediakan jalan yang lebih mudah dan cepat ke arah pemulihan aset,” katanya ketika dihubungi.
Beliau juga menyifatkan UWO sebagai satu bentuk rampasan sivil, menyifatkannya sebagai alat penyiasatan yang dibuat untuk mendapatkan perintah pemulihan sivil dengan membalikkan beban pembuktian.
Pushpan juga menegaskan ia jarng digunakan di UK, dengan agensi penyiasat enggan menggunakan undang-undang dalam kes yang melibatkan struktur aset yang kompleks. Ini kerana kos perundangan yang ditanggung adalah tinggi jika UWO diterbalikkan.
Beliau juga berkata penggunaan ‘syarikat cengkerang’ dan proksi untuk menyembunyikan aset di Malaysia juga mungkin menjadi penghalang utama kepada penggunaan UWO di sini.