
Mulai hari ini, Lembah Klang dan Melaka memasuki fasa ketiga PPN, bersama Perlis, Pahang, Terengganu dan Sarawak, sekali gus memberinya kelonggaran baharu dalam langkah-langkah kawalan Covid-19.
Hanya Negeri Sembilan dan Labuan kini berada dalam fasa keempat.
Bagi negeri-negeri bawah fasa pertama dan kedua, makan di dalam premis hanya dibenarkan bagi individu yang telah lengkap vaksinasi.
Bagaimanapun, menurut prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri bawah fasa ketiga, semua pelanggan, tanpa mengira status vaksinasi, dibenarkan makan di dalam premis restoran, selagi menjaga penjarakan fizikal.
Aktiviti makan di dalam premis bagi tujuan “perjumpaan sosial” masih belum dibenarkan.
Waktu operasi premis kekal dari 6 pagi hingga tengah malam.
Peraturan itu terpakai antara lain bagi restoran, premis makanan dalam hotel, rumah kelab di fasiliti sukan, gerai, kendera saji, penjaja tepi jalan, medan selera dan medan penjaja.
Bar dan kelab malam masih belum dibenarkan beroperasi bawah fasa ketiga PPN.