Gaji sara hidup mampu dilaksana dengan dasar baharu, kata ahli akademik

Gaji sara hidup mampu dilaksana dengan dasar baharu, kata ahli akademik

Masih ada kemungkinan untuk melaksanakannya melalui dasar-dasar yang meningkatkan pasaran buruh, kata ahli akademik.

Meningkatkan pasaran buruh dan memberi peluang secukupnya bagi pemahiran semula dan peningkatan kemahiran adalah prasyarat untuk memperoleh gaji sara hidup yang realistik, kata seorang ahli akademik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gaji sara hidup mampu dilaksanakan memandangkan wabak memberi kerajaan peluang mengatur semula struktur ekonomi negara, menurut seorang ahli akademik.

Hafezali Iqbal Hussain, profesor madya di Fakulti Perniagaan dan Undang-Undang Universiti Taylor berkata, gaji sara hidup sebelum ini digambarkan sebagai sukar dicapai bagi segelintir individu, berdasarkan konteks pengeluaran tinggi dengan tenaga kerja murah dalam ekonomi negara.

Namun, katanya, masih ada kemungkinan untuk melaksanakannya melalui dasar-dasar yang meningkatkan pasaran buruh, terutamanya yang membantu penganggur mencari pekerjaan dan memberi peluang secukupnya bagi pemahiran semula dan peningkatan kemahiran.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata, kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan gaji sara hidup untuk semua sektor, selepas Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) bertanya sama ada Malaysia merancang untuk memperkenalkannya, seperti di Australia dan Luxembourg.

Kata Awang, kerajaan perlu terlebih dahulu mempertimbangkan kemampuan majikan untuk membayarnya.

Hafezali berkata, kebergantungan Malaysia kepada tenaga kerja murah sebagai kelebihan daya saing utama negara bagi pelabur asing dan tempatan telah menyebabkan kelewatan dalam kenaikan gaji.

“Industri-industri banyak bergantung kepada pekerja asing berkemahiran rendah untuk meningkatkan daya pengeluaran dengan kerja lebih masa, berbanding melalui pelaburan dalam mekanisasi, automasi, selain penerapan teknologi digital,” katanya.

Oleh itu, katanya, ada beberapa rintangan dalam menetapkan gaji lebih tinggi, terutamanya bagi perusahaan mikro yang kebanyakannya tidak dapat menyerap kos lebih tinggi.

Langkah itu juga boleh mencetuskan kesan monopoli, termasuk pekerja berkemahiran rendah kehilangan tempat dan pekerjaan jika gaji lebih tinggi tidak disertai peningkatan daya pengeluaran.

Ahli ekonomi, Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, gaji sara hidup boleh menjadi sebahagian daripada pendapatan asas sejagat (UBI), yang mengambil kira kelompok berbeza yang tidak dapat bekerja untuk memperoleh pendapatan, seperti pesara, orang kurang upaya dan graduan baharu.

Katanya, kelewatan melaksanakan ini di Malaysia berpunca daripada “tentangan kumpulan yang memandangnya hanya sebagai kenaikan gaji minimum”.

“UBI sebenarnya dapat dibiayai melalui pelbagai sumber – pendapatan daripada pekerjaan, pendapatan tidak dicukai daripada simpanan dan perniagaan sampingan, serta bantuan tunai daripada kerajaan bagi meningkatkan pendapatan kepada kadar UBI yang ditetapkan.

“Ia tidak sepatutnya dilihat sebagai hanya menaikkan gaji minimum, contohnya, kerana ia akan meningkatkan pengangguran dan kemiskinan,” katanya.

Apa maksud ‘gaji sara hidup’ di Malaysia?

Gaji sara hidup sering dirujuk sebagai pendapatan minima untuk menampung keperluan asas.

Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini mentakrifkannya sebagai tahap pendapatan bagi isi rumah untuk memperoleh standard kehidupan minimum yang boleh diterima.

Pada 2018, bank pusat itu menganggarkan gaji sara hidup di Kuala Lumpur untuk individu bujang dewasa adalah RM2,700.

Pasangan yang tidak mempunyai anak memerlukan RM4,500, manakala pasangan dengan dua orang anak, RM6,500.

BNM menganggarkan bahawa lebih satu perempat daripada isi rumah di Kuala Lumpur memperoleh pendapatan bawah paras gaji sara hidup.

Hafezali berkata, gaji sara hidup mestilah cukup untuk memenuhi keperluan asas pekerja, termasuk makanan, perumahan, penjagaan anak dan pendidikan, serta simpanan.

“Ini perlu diperoleh dengan bekerja pada waktu bekerja biasa. Sebaiknya, ia perlu cukup tinggi di mana tidak lebih satu pertiga diperuntukkan bagi kos perumahan,” katanya.

Tambahnya, ia mungkin akan berbeza mengikut lokaliti dan biaya hidup.

Saiz isi rumah juga menjadi faktor penting, katanya, memandangkan data mengenai kemiskinan menyatakan sebahagian besar isi rumah yang hidup bawah garis kemiskinan selalunya mempunyai empat atau lebih ahli.

Williams berkata, menaikkan standard pendapatan dan menolak gaji rendah juga dapat membantu pembangunan ekonomi.

“Ia juga mungkin dapat mencetuskan standard lebih tinggi dalam perniagaan, pelaburan dan peluang pekerjaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.