
Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat) berkata, Putrajaya terpaksa membayar Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) sehingga RM100 juta setahun untuk menguruskan sistem air kumbahan.
Beliau menggesa semua Ahli Parlimen menyokong gesaannya menaikkan kadar tarif untuk mengurangkan jumlah wang yang kerajaan perlu bayar kepada IWK setiap tahun.
“Jika anda perlu membayar RM100 juta setahun, dalam lima tahun ia akan terkumpul menjadi RM500 juta yang boleh digunakan untuk projek atau program lain, sama ada bagi pendidikan, kesihatan atau penyelidikan.

“Kenapa tidak menaikkan tarif sedikit supaya bil air meningkat RM5 hingga RM10?
“Saya difahamkan di kawasan Segitiga Emas Kuala Lumpur, ada yang membeli apartmen jutaan ringgit, tetapi hanya perlu membayar RM8 kepada IWK.
“Ini tidak adil. Jadi, saya cadangkan kita kaji semula tarif air,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat.
Disember lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, ia bukan masa sesuai menaikkan tarif air kerana rakyat masih berdepan kesan ekonomi daripada pandemik.
Walaupun mengakui kadar itu sudah lama tidak disemak semula, beliau berkata, gesaan untuk menaikkan tarif air perlu ditangguhkan buat sementara waktu.
Xavier dalam ucapannya turut menyentuh keperluan melakukan transformasi ke atas industri air dan menggesa kerjasama menyeluruh, termasuk daripada kerajaan negeri.
Katanya, Malaysia yang kaya dengan sumber, seperti air mentah dan sumber bawah tanah, perlu dimanfaatkan.