Kenaikan tarif air tak beban pengguna domestik, kata Aminuddin

Kenaikan tarif air tak beban pengguna domestik, kata Aminuddin

MB Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata 20m padu pertama diberikan subsidi penuh dan 20m padu seterusnya dikenakan kadar minimum.

ayor
Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berharap rakyat memahami rasional kenaikan tarif air dan menyokong usaha kerajaan dalam memastikan kelestarian bekalan air jangka panjang.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun memberi jaminan kenaikan tarif air tidak akan memberi kesan besar kepada pengguna domestik memandangkan penggunaan air sehingga 40m padu masih disubsidi kerajaan.

Bagi pengguna domestik, beliau berkata, kadar baharu masih mengekalkan subsidi untuk 40m padu pertama, di mana 20m padu pertama diberikan subsidi penuh dan 20m padu seterusnya dikenakan kadar minimum.

“Kita hanya ambil keuntungan sekitar 10 sen daripada kos rawatan dan pengurusan air. Walaupun tarif dinaikkan, pengguna domestik masih menikmati kadar yang rendah.

“Kos sebenar rawatan air di negeri ini antara RM1.10 hingga RM1.15 setiap meter padu, tetapi pengguna hanya dikenakan sekitar 70 sen, bermakna kerajaan masih menanggung subsidi lebih 40 sen,” katanya menurut Sinar Harian pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Sembilan di Seremban.

Aminuddin berkata, keputusan menaikkan tarif air dibuat bersama semua negeri yang diselaraskan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), di mana kebanyakan negeri bersetuju dan hanya satu atau dua negeri memohon penangguhan.

“Kita ikut keputusan ini kerana kenaikan tarif air tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya di peringkat negeri. Ia perlu diselaraskan secara bersama mengikut tempoh ditetapkan untuk semua negeri.”

Beliau berharap rakyat memahami rasional kenaikan tarif air dan menyokong usaha kerajaan dalam memastikan kelestarian bekalan air jangka panjang.

“Kadar tarif air di Malaysia masih antara yang terendah di Asia. Kita harap rakyat faham kenaikan ini bukan untuk keuntungan, tetapi demi kebaikan bersama.”

Menurutnya, peningkatan penggunaan air akan memaksa kerajaan membina lebih banyak infrastruktur seperti loji rawatan, empangan dan sistem paip yang menelan kos berbilion ringgit dan menambah beban hutang.

“Hutang semasa kerajaan negeri berkaitan air mencecah RM700 juta dan sebahagiannya berpunca daripada pembinaan empangan baharu serta kemudahan rawatan seperti di Pusat Rawatan Air Ngoi Ngoi 2.

“Kos operasi turut meningkat dengan ketara akibat kenaikan tarif elektrik yang menambah beban sebanyak RM700,000 sebulan, terutamanya bagi sektor komersial dan industri.”

Beliau menasihatkan rakyat menggunakan air secara berhemah, khasnya pada musim panas dan kemarau ketika ini.

“Kita minta rakyat elak guna air untuk tujuan tidak perlu seperti membasuh kereta atau menyiram pokok bunga secara berlebihan.

“Gunakan semula air lebihan seperti ketika membasuh makanan untuk siraman tanaman.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.