
Dr Xavier Jayakumar, yang meninggalkan PKR pada 2021, berkata tugas Anwar membabitkan “usaha psikologi” untuk menghapuskan paradigma ini dalam kalangan pegawai dan pemimpin kerajaan.

“Sejak sekian lama, terdapat pemikiran negara ini milik satu kaum saja.”
Bekas menteri air, tanah dan sumber asli itu memetik Anwar berulang kali menyatakan “anak dari semua kaum dan agama adalah anak saya” sejak berkuasa pada November 2022.
“Sekiranya kita dapat menghapuskan bias ras dan agama daripada pemikiran pegawai dan pemimpin kerajaan, maka kita boleh menyelesaikan semua masalah dalam negara dengan mudah. Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama akan menerima perkhidmatan kerajaan tanpa diskriminasi,” katanya menurut Bernama.
Dengan adanya jentera kerajaan, beliau berkata, perdana menteri tidak perlu campur tangan dalam menyelesaikan isu membabitkan golongan minoriti kerana pegawainya sendiri boleh menanganinya.
“Banyak perkara yang belum dapat diselesaikan selama bertahun-tahun, menunggu cadangan khas daripada menteri atau perdana menteri disebabkan kekurangan pertimbangan tersebut oleh pegawai.”
Xavier bersama PKR sejak 1998, sebelum meletak jawatan pada Mac 2021.
Beliau kemudian mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin dengan berkata ia langkah perlu untuk memastikan kestabilan politik dan mengelakkan PRU mengejut pada kemuncak pandemik Covid-19.
Anak perempuannya, Sangetha Jayakumar adalah naib ketua Wanita PKR dan ahli lembaga pengarah Lembaga Pelabuhan Klang.