
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu turut menyokong perancangan untuk menyambung projek itu bagi laluan utara dari Bangkok ke sempadan Malaysia-Thailand.
Katanya, impak projek itu akan memberi kesan berganda dalam membuka peluang pekerjaan dan perniagaan baharu serta pembangunan wilayah, pewujudan bandar baharu sepanjang laluan HSR.
“Saya menyokong pelan kerajaan berhubung pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) ke Johor Bahru, malahan juga ke utara untuk disambung dengan HSR dari Bangkok ke sempadan Malaysia-Thailand dengan pembiayaan swasta yang melibatkan konsortium kewangan dalam negara,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.
Muhyiddin berkata, pelaksanaan projek penting seperti HSR akan menghasilkan nilai berganda berbilion ringgit dan mendatangkan manfaat besar kepada rakyat termasuk masyarakat Bumiputera.
“Perkembangan masa depan negara mesti mengandungi program dan projek penting atau utama yang boleh melonjakkan pertumbuhan pengeluaran negara, peluang pekerjaan dan pendapatan dalam jangka pendek dan sederhana,” katanya.
Pada 1 Jan lalu, Muhyiddin yang menjadi perdana menteri ketika itu dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong mengumumkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura sepanjang 350km ditamatkan.
Ia selepas kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu berakhir pada 31 Dis 2020.
Kerajaan telah membayar SGD102,815,576.00 (RM320,270,519.24) kepada Singapura sebagai pampasan.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, dalam menuju peralihan menjadi negara berpendapatan tinggi, kerajaan perlu meneliti realiti kehidupan rakyat dan komuniti perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
“Ia termasuk pertimbangan yang sewajarnya di samping kepentingan masyarakat Bumiputera khususnya di Sabah dan Sarawak untuk mendapat faedah daripada pertumbuhan ekonomi,” tambah beliau.
Beliau berkata, pembangunan ekonomi dilihat rapuh berikutan berlakunya rombakan ketara apabila ramai dalam kalangan M40 yang tergelincir ke dalam kumpulan B40 selepas hilang mata pencarian atau terjejas sumber pendapatan sepanjang pandemik.