Rugi lebih RM50,000 buat kerja sambilan jadi orang tengah

Rugi lebih RM50,000 buat kerja sambilan jadi orang tengah

Menurut polis, mangsa sudah memindahkan wang kepada suspek bernama 'Ting Su Li' sebanyak tiga kali melalui mesin deposit tunai.

Mangsa mendakwa mengenali suspek melalui Facebook sejak April lalu sebelum suspek menawarkan mangsa melakukan kerja sambilan, kata polis.
KUANTAN:
Seorang penyelia lombong mendakwa mengalami kerugian RM55,700 selepas ditipu individu yang menawarkan kerja sambilan melalui aplikasi ‘Nice Jobs’ sejak 22 Ogos lalu, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof.

Beliau berkata, mangsa berusia 38 tahun itu hanya menyedari menjadi mangsa selepas komisen dijanjikan suspek hasil urus niaga menggunakan aplikasi berkenaan tidak diterima mengikut jadual pembayaran ditetapkan.

Katanya, mangsa mendakwa mengenali suspek melalui Facebook sejak April lalu sebelum suspek mula menawarkan mangsa melakukan kerja sambilan sebagai pendapatan tambahan.

“Suspek bernama ‘Ting Su Li’ menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp menggunakan dua nombor berbeza dan meminta mangsa memuat naik aplikasi ‘Nice Jobs’ untuk memulakan kerja sambilan itu.

“Sebagai orang tengah, mangsa perlu membayar terlebih dahulu harga barangan yang dipesan pelanggan melalui aplikasi berkenaan dan selepas barangan diterima pelanggan serta pembayaran dibuat, mangsa akan memperoleh komisen antara 10 hingga 15% daripada harga barangan itu,” katanya dalam kenyataan.

Wazir berkata, mangsa membuat tiga kali pemindahan wang menggunakan mesin deposit tunai (CDM) ke tiga akaun berbeza yang diberikan suspek antara 22 Ogos hingga 2 September lalu bagi tujuan pembelian barangan yang dipesan pelanggan melalui aplikasi ‘Nice Jobs’.

Katanya, jumlah keseluruhan pemindahan wang dilakukan mangsa ialah RM55,700 dan sehingga semalam, mangsa mendakwa tidak menerima sebarang komisen yang dijanjikan suspek hasil urus niaga berkenaan.

“Aplikasi ‘Nice Jobs’ yang menggunakan kata laluan diberikan suspek kepada mangsa juga sudah tidak boleh diakses dan mangsa yang berasa ditipu membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, semalam,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Wazir berkata, pihaknya sedang mengesan suspek dan sudah meminta kerjasama pihak bank bagi mengenal pasti pemilik akaun yang digunakan suspek dalam kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.