Polis serbu sindiket cipta aplikasi penipuan untuk ‘scammer’

Polis serbu sindiket cipta aplikasi penipuan untuk ‘scammer’

Semua lima suspek dipercayai menjalankan kegiatan mencipta aplikasi yang digunakan untuk menipu dan memerangkap mangsa di China.

Yahaya Othman
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata kumpulan berkenaan turut bergiat dalam penipuan penukaran mata wang asing tidak wujud, yang turut menyasarkan mangsa di China. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Polis Pahang menumpaskan sindiket yang mencipta aplikasi bagi tujuan penipuan, dalam serbuan di sebuah rumah di Puncak Lestari, Mentakab, Temerloh.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman, berkata seramai lima suspek terdiri daripada lelaki dan wanita tempatan, dua lelaki warga China dan seorang wanita warga Indonesia, ditahan kira-kira 6.50 petang pada 2 Dis lepas.

“Suspek yang berusia antara 29 hingga 39 tahun itu dipercayai telah menjalankan kegiatan mencipta aplikasi bagi kegunaan scammer untuk memerangkap mangsa di China.

“Dalam masa yang sama, kumpulan berkenaan turut bergiat dalam penipuan penukaran mata wang asing tidak wujud, yang turut menyasarkan mangsa di China,” katanya pada sidang media di IPK Pahang.

Berdasarkan pemeriksaan, semua suspek dipercayai tinggal di premis berkenaan sejak Julai lepas dan bertindak sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan bayaran gaji sebanyak RM2,500 hingga RM4,000 sebulan.

Menerusi serbuan itu, polis turut merampas sebanyak 11 telefon bimbit, tujuh komputer riba, dua unit monitor, satu unit papan kekunci dan dua unit modem dengan anggaran nilai keseluruhan RM30,000.

Serbuan berkenaan merupakan tangkapan ketiga membabitkan pusat scammer di Pahang tahun ini, selepas di Genting Highlands pada awal tahun dan di Bera pada 27 Nov .

Sementara itu, Yahaya memaklumkan berdasarkan statistik Januari hingga November tahun ini, jumlah kerugian direkodkan melibatkan kes penipuan ialah RM90.3 juta berbanding lebih RM80 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.