
“Tahniah buat warga pendidik dan anak-anak SK Putrajaya Presint 11 (1) atas pengiktirafan ini. Usaha dan dedikasi kalian menjadi inspirasi kepada semua,” katanya dalam hantaran X.
SK Putrajaya Presint 11 (1) dilaporkan tersenarai satu daripada 10 finalis utama Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat.
Penganjur anugerah itu T4 Education dalam kenyataan di laman webnya berkata, menerusi aplikasi mudah alih HELPIE, sekolah rendah itu berjaya memecahkan tembok yang menjadi penghalang pemantapan kesihatan mental dan kesejahteraan hidup.
Direka dan dibangunkan oleh pelajar untuk pelajar, HELPIE menjadikan sokongan kesihatan mental boleh diakses, interaktif, menarik dan paling penting menyeronokkan.
“Gamifikasi menjadikan kesedaran emosi menyeronokkan dan menarik, alatan penilaian kendiri ini membantu pelajar melihat tahap tekanan semasa mereka dengan mudah, mengenal pasti pencetus emosi dan titik tekanan, dengan fungsi ‘chat’ yang dipautkan kepada ahli terapi dalam talian, ia memberikan pelajar akses kepada bimbingan dan kaunseling pantas.
“Kad bercetak, dipasangkan dengan aplikasi, menyediakan aktiviti berpandu yang membawa kandungan ke dalam konteks dunia sebenar, membolehkan kanak-kanak bermain secara individu atau berkumpulan dan menggalakkan perbincangan terbuka tentang emosi.”
Bagi memastikan pelajar mempunyai sumber digital terhad tidak ketinggalan, aplikasi itu dipasang pada tablet disediakan sekolah, menjadikan ia boleh diakses kanak-kanak sepanjang hari semasa di sekolah.
“Sejak pelaksanaan, sekolah berkenaan melihat penurunan 60% dalam tahap tekanan pelajar. Lebih 90% pelajar dilaporkan mempunyai pemahaman lebih baik mengenai emosi mereka dan 87% mengatakan mereka memahami tahap tekanan mereka lebih baik.”
T4 Education berkata, dengan memastikan kesedaran teknologi dan emosi berjalan seiring, SK Putrajaya Presint 11 (1) mewujudkan ruang pembelajaran seimbang dan menggembirakan, dengan kanak-kanak berasa selamat serta difahami dalam persekitaran dan mereka boleh berkembang maju.