
Chan Ming Kai (PH-Alor Setar) berkata, saiz populasi sering dikaitkan dengan pertumbuhan ekonomi dan kadar kemiskinan negeri berdasarkan prinsip asas ekonomi.
Katanya, negeri seperti Kelantan, Sarawak dan Kedah mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi, iaitu masing-masing 12%, 9% dan 8.8% manakala jumlah kematian di beberapa negeri ini juga lebih tinggi berbanding negeri lain.
“Apa yang saya ingin cadangkan ialah kerajaan mewujudkan semula program perancang keluarga di beberapa negeri ini. Negeri ini mempunyai kadar keperluan pencegah kehamilan yang tinggi dan ia tidak dipenuhi.
“Ini bermakna penduduk mahu merancang bilangan anak yang mereka inginkan tetapi kurang maklumat dan pengetahuan,” katanya di Dewan Rakyat ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Chan berkata, program perancang keluarga boleh membantu mengurangkan kadar kemiskinan di negeri terbabit dan membantu Putrajaya mencapai matlamat di bawah RMK-12.
Beliau turut menggesa kerajaan menggariskan kumpulan Bumiputera tertentu yang memerlukan tindakan afirmatif, berbanding meletakkan mereka semua dalam satu kategori.
Chan bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk membantu Bumiputera yang memerlukan bantuan tetapi RMK-11 secara jelasnya telah menggariskan kategori kecil Bumiputera yang lebih banyak mengalami kesukaran berbanding golongan lain.
“Di bawah RMK11, ia secara jelas menyatakan bahawa Orang Asli di Semenanjung merekodkan kadar kemiskinan pada paras 32%, Bumiputera di Sabah pada kadar 20% manakala Bumiputera di Sarawak pula sebanyak 7%.
“Apabila digabungkan semuanya, ia menjadikan semua Bumiputera hidup dalam kesusahan,” katanya.