
Beliau berkata kadar kemiskinan tegar di negara ini kini hanya tinggal 0.09%, sekali gus menunjukkan keberkesanan pendekatan inklusif dan menyeluruh dalam memastikan tiada rakyat terpinggir daripada arus pembangunan negara.
“Malaysia diiktiraf di dunia sekarang dari sudut kejayaan menoktahi kemiskinan tegar.
“Malaysia bersyukur kerana kemiskinan tegar kini tinggal 0.09% sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku.
Beliau turut menyatakan keyakinan baki itu mampu diselesaikan sepenuhnya pada suku pertama 2026, sekali gus menjadikan Malaysia bebas kemiskinan tegar sepenuhnya.
Anwar yang juga menteri Kewangan berkata kadar itu merupakan pencapaian bersejarah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk kementerian, agensi dan kerajaan negeri yang melaksanakan program antaranya Kampung Angkat Madani, Sekolah Angkat Madani dan Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani), yang dipantau secara langsung.
“Ini semua dengan maksud tidak ada kelompok yang tersisih dan tertinggal,” katanya.
Perdana Menteri berkata pencapaian itu menggambarkan kejayaan dasar ekonomi Madani yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat.