
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, hari ini.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Alhaque dalam kenyataan menegaskan, sebagai pemegang hak cipta tunggal karya yang dihasilkan, beliau percaya tindakan individu terbabit menggunakan semula karya berkenaan adalah menyalahi undang-undang.
“Dalam laporan tersebut saya menamakan individu yang mempunyai nombor telefon +60 1137117917 dengan nama yang tertera ialah ‘Fairosmohamme’ dan lima lagi ‘admin’ dalam sebuah ‘WhatsApp group’ sebagai pihak yang bertanggungjawab mencuri dan memalsukan karya-karya saya.
“Mereka juga telah memuat naik kartun-kartun yang dicuri dan dipalsukan itu di WhatsApp group bernama ‘UmnoPas Jom Ranapkan PH’,” kata kenyataan itu.
Zunar turut memaklumkan bahawa butiran mengenai nombor telefon bimbit berkenaan serta lima lagi pentadbir kumpulan WhatsApp itu sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Beliau turut melampirkan karya dihasilkannya yang didakwa dicuri dan dipalsukan individu dan kumpulan terbabit serta membenarkan pihak media menyiarkan semula foto berkenaan.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak yang tampil memberi maklumat ini kepada saya.
“Selain itu, saya sedang berbincang dengan peguam dan menimbangkan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap individu-individu tersebut kerana telah melanggar hak cipta mengikut Akta Hak Cipta 1987,” katanya.