Daftar automatik, Undi18 sebelum 30 Dis

Daftar automatik, Undi18 sebelum 30 Dis

Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, SPR sedang mengenal pasti dan mencari penyelesaian untuk pelaksanaannya.

Selain inisiatif Undi18, cadangan untuk pendaftaran automatik pengundi juga akan dilaksanakan sebelum tahun ini berakhir, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
KUALA LUMPUR:
Pendaftaran automatik individu berusia 18 tahun ke atas sebagai pengundi dijangka dilaksanakan menjelang Disember 2021, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mengenal pasti dan mencari penyelesaian untuk pelaksanaan Undi18 serta pendaftaran automatik.

“SPR komited untuk melaksanakannya, paling lewat pada 30 Dis 2021,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau turut mengesahkan, sebelum 31 Dis 2021 akan ada 5.6 juta pengundi tambahan, dengan 4.4 juta daripadanya berusia 21 tahun ke atas.

Tambahnya, setiap tahun 500,000 pengundi baharu akan mencapai usia 18 tahun seterusnya layak mendaftar.

Sebelum ini Wan Junaidi berkata SPR bersedia melaksanakan pindaan Undi18 saja sebelum 31 Disember ini, tetapi tidak termasuk pendaftaran automatik.

Katanya, Putrajaya akan akur dengan perintah Mahkamah Tinggi Kuching supaya kerajaan melaksanakan pindaan Undi18 sebelum 31 Disember.

Dalam keputusan itu, mahkamah membenarkan cabaran undang-undang difailkan lima remaja Sarawak terhadap keputusan kerajaan terdahulu pimpinan Muhyiddin Yassin untuk tidak melakukannya sebelum Julai lalu. Wan Junaidi berkata kerajaan belum memutuskan sama ada akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Rang Undang-undang Undi18 diluluskan Dewan Negara pada Julai 2019 dan diwartakan dua bulan kemudian. Ia menurunkan usia mengundi dari 21 kepada 18.

SPR sebelum ini mengatakan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik akan dilaksanakan mulai Julai, namun ditangguhkan ke September tahun depan akibat Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.