PRN Sabah: Isu infrastruktur, gaji rendah boleh pengaruhi undi orang muda

PRN Sabah: Isu infrastruktur, gaji rendah boleh pengaruhi undi orang muda

Undi18 berkata sekelompok pengundi muda kecewa kerana pemerintah dan pembangkang sibuk berpolitiking berbanding tumpu pembangunan negeri.

pengundi muda young voter
Kajian mendedahkan anak muda Sabah tidak begitu teruja menyertai PRN.
PETALING JAYA:
Isu infrastruktur dan peluang kerja terhad selain paras gaji rendah dihadapi anak muda Sabah dijangka mempengaruhi corak pengundian golongan itu pada PRN tahun ini, menurut sebuah NGO.

Pengarah Advokasi dan Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai, berkata kajian di lapangan oleh sukarelawannya mendapati ada sekelompok pengundi muda kecewa kerana pemerintah dan pembangkang sibuk berpolitiking, berbanding tumpu kepada pembangunan negeri.

Beliau turut mendedahkan, anak muda di negeri itu tidak begitu teruja menyertai PRN, malah memberi amaran jika isu asas tidak ditangani dengan serius kemungkinan berlaku peratusan keluar mengundi rendah daripada kelompok itu.

“Bila sukarelawan kita bercakap dengan mereka, memang wujud sentimen di mana anak muda kecewa dengan kedua-dua pihak yang dilihat gagal memperjuangkan hak rakyat Sabah seperti dilakukan pemerintah di Sarawak.

tharma pillai
Tharma Pillai.

“Apabila kita bandingkan dengan Sarawak, anak muda Sabah melihat negeri jiran itu sebagai contoh di mana politik yang bersatu membawa kepada pembangunan pesat dan suara rakyat yang lebih didengari.

“Jadi, terdapat kekhuatiran ramai pengundi muda di Sabah merasakan bahawa tidak ada tujuan atau tidak ada sebab untuk mereka keluar mengundi ketika parti politik terus berpecah,” katanya kepada FMT.

Kepentingan pengundi muda turut disentuh oleh pemimpin Umno Sabah yang mana menurutnya, kelompok diistilahkan sebagai ‘majoriti senyap’ itu akan mempengaruhi keputusan PRN nanti.

Adun Usukan yang juga Bendahari Umno Sabah, Salleh Said Keruak, menggariskan lima faktor – gabungan politik, autonomi, ekonomi, kepimpinan dan pembangunan – akan dinilai pengundi, yang majoritinya adalah kelompok atas pagar.

FMT dalam laporannya 10 Mac lalu menyentuh tawaran gaji tidak setimpal dengan kelulusan di Sabah menyebabkan ramai warganya terpaksa berhijrah ke Semenanjung demi pendapatan lebih baik.

Menurut data Jabatan Perangkaan, perniagaan di Sabah antara paling rendah menawarkan gaji berbanding negeri lain.

Kumpulan perniagaan berkata, kebanyakan syarikat di Sabah berskala kecil dengan sumber kewangan terhad, menyebabkan mereka sukar menawarkan gaji setanding negeri di Semenanjung.

Statistik rasmi menunjukkan purata gaji pada Mac 2023 ialah RM4,858 sebulan di Putrajaya, RM4,521 di Kuala Lumpur dan RM3,885 di Selangor. Sebaliknya, di Sabah purata gaji hanya RM3,127 sebulan.

Tharma bagaimanapun berkata, jika pemimpin politik mampu melakukan komunikasi berkesan dengan mendekati anak muda melalui naratif meyakinkan termasuk hala tuju pentadbiran lebih jelas dalam tempoh beberapa bulan ini, tidak mustahil mereka dapat menangkap kepercayaan pengundi atas pagar itu.

“Mereka bukan saja akan keluar mengundi, malah akan menjadi penyokong terbesar kepada parti politik.

“…dan tidak mustahil, mereka pula akan mengajak ahli keluarga supaya sokong parti atau pemimpin yang disukai,” katanya, namun mengakui setakat ini belum ada mana-mana parti politik berjaya membina hubungan erat dengan pengundi muda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.