
Panel tiga hakim terdiri daripada Suraya Othman, Indera Mohd Sofian Abd Razak dan Lee Heng Cheong menolak rayuan Masri Che Yusoff dengan kos RM15,000.
“Kami berpendapat yang arif hakim (Mahkamah Tinggi) tidak terkhilaf dalam dapatan dan keputusannya. Oleh itu kami mendapati tiada merit dalam rayuan ini dan kami menolak rayuan ini dengan kos,” kata Suraya yang mengetuai panel itu.
Dalam keputusan mahkamah, Suraya berkata Mahkamah Tinggi telah membuat dapatan yang betul bahawa kenyataan tersebut adalah berunsur fitnah.
Beliau dalam penghakimannya berkata, hakim Mahkamah Tinggi juga menyatakan kenyataan itu bermaksud Husam mempunyai kepentingan peribadi dalam tiga lot tanah dan telah melakukan salah guna kuasa dan kedudukan sebagai ahli Exco kerajaan negeri Kelantan dengan memperoleh tanah itu untuk kepentingan peribadinya.
Pada Jun 2018, Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan saman fitnah Husam terhadap Masri dan memerintahkan jumlah ganti rugi ditaksirkan oleh timbalan pendaftar.
Masri ketika itu ahli jawatankuasa PAS Kawasan Ketereh dan anggota Dewan Ulama PAS Kelantan. Husam memfailkan saman itu terhadap Masri pada 27 Okt 2015.
Pada November 2019 timbalan pendaftar menganugerahkan RM50,000 kepada Husam tetapi beliau telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi yang pada Februari lepas menaikkan jumlah itu kepada RM150,000.
Pendengaran rayuan Masri hari ini yang dijalankan secara dalam talian adalah berhubung keputusan Mahkamah Tinggi mengenai liabiliti.
Suraya berkata memandangkan Masri tidak memfailkan rayuan mengenai kuantum ganti rugi, ganti rugi sebanyak RM150,000 itu kekal.
Apabila dihubungi peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Masri berkata beliau akan mendapatkan arahan anak guamnya sama ada membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.
Peguam Muhammad Faiz Fadzil mewakili Husam.