
Pengerusi MPN, Muhyiddin Yassin, berkata Perdana Menteri juga bersetuju untuk setiap dasar dipersetujui MPN dilaksanakan terus.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri seminggu lepas untuk bincang apakah bidang autoriti MPN, adakah seperti dahulu, di mana dahulu saya Pengerusi MPN sebagai Perdana Menteri, sekarang saya Pengerusi MPN sebagai mantan Perdana Menteri, ada beza dari segi kuasa, autoriti dan sebagainya.
“…tapi baiknya Perdana Menteri kata buat macam dulu, maknanya kalau ada keputusan telah dibuat MPN, maka itu harus dilaksana terus terutamanya mengenai dasar kecuali ada kaitan dengan kewangan contoh nak keluar RM10 bilion atau RM100,000…yang ini tentu kena dibawa oleh pihak kerajaan dan Kabinet.
“Lain daripada itu skop diberi agak baik saya boleh buat keputusan segera,” katanya menerusi Agenda Awani malam ini.
Muhyiddin turut menyifatkan pelantikannya sebagai Pengerusi MPN oleh kerajaan Ismail adalah tanggungjawab yang perlu dilaksana dengan baik.
Mengulas tugasnya menerajui MPN dengan tidak lagi menjadi perdana menteri, Muhyiddin berkata beberapa perkara perlu diberi penekanan dalam memastikan keberkesanan fungsi majlis itu dapat dicapai dalam usaha untuk memulihkan negara.
Katanya, keterlibatan wakil pembangkang dalam MPN juga dapat memberi kebaikan kepada rakyat.
“Satu yang saya fikirkan adalah pembentukan majlis itu mempunyai komposisi beberapa pihak pemain-pemain utama termasuk bi-partisan. Dalam erti kata lain kita akan menjemput wakil-wakil pihak pembangkang bersama-sama memberikan pandangan.
“Jadi itu tentunya baik dari segi kita mengurangkan politiking. Seperti yang kita tahu masalah-masalah yang kita ada sebelum ini yang mana mempersoalkan banyak perkara. Saya faham tujuannya adalah untuk memulihkan ekonomi negara kita, tetapi politik adalah politik. Itu mungkin akan mengganggu dari soal tumpuan kita untuk memulihkan negara,” katanya.
Muhyiddin berkata, dua perubahan lain yang diperlukan melalui MPN adalah melibatkan masyarakat dan memberikan maklumat secara telus tanpa ada niat tersembunyi.
“Kita harus mempunyai perancangan yang jelas dan perkara ini harus dilakukan oleh MPN secara terbuka.
“Kita perlu melakukan sesuatu perkara secara transparent (telus), umum tahu dan bukannya diselindung dengan muslihat politik tertentu. Ini untuk kebajikan dan faedah rakyat jelata,” katanya,
Muhyiddin juga berharap semua ahli MPN termasuk pembangkang akan memberi kerjasama dalam menjayakan proses pemulihan negara.
“Saya sudah mula mengatur beberapa perkara yang menjadi keutamaan bagaimana nak laksanakan untuk memastikan ia memberi kesan kepada kumpulan sasar.
“Saya harap apa yang dirancang mendapat sokongan semua ahli MPN, tak kisah ia datang dari kerajaan, pembangkang, kita harus tumpu soal menyelamatkan rakyat, kalau itu jadi keutamaan saya percaya kita boleh pulih dalam masa tidak terlalu lama, itulah keutamaan saya,” katanya,
Sebelum ini Ismail, mempertahankan keputusan melantik Muhyiddin sebagai pengerusi MPN bertaraf menteri walaupun wakil pembangkang mempersoalnya susulan dakwaan kegagalan Ahli Parlimen Pagoh itu menerajui negara selama 17 bulan.
Ismail berkata, pelantikan Muhyiddin dibuat memandangkan bekas perdana menteri itu menjawat jawatan tersebut sejak MPN diwujudkan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).