Lelaki cedera ketika tahan peragut isteri terima penghargaan polis

Lelaki cedera ketika tahan peragut isteri terima penghargaan polis

Mohd Hanif Hilmi, 29, mengalami kecederaan di bahagian telinga kirinya selepas digigit suspek dalam kejadian yang berlaku pada pukul 5.45 pagi itu.

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata, kejadian berlaku semasa isteri Mohd Hanif Hilmi yang baru turun dari bas ekspres diragut suspek yang menunggang motosikal. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Tindakan berani seorang suami menahan peragut yang menyamun isterinya dalam kejadian di Kampung Binjai, di sini, Ahad lepas mendapat penghargaan polis atas pengorbanan itu.

Mohd Hanif Hilmi, 29, turut mengalami kecederaan di bahagian telinga kirinya selepas digigit suspek dalam kejadian yang berlaku pada 5.45 pagi.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat berkata, kejadian berlaku semasa isteri Mohd Hanif yang baru turun dari bas ekspres diragut suspek yang menunggang motosikal.

“Melihat kejadian itu, Mohd Hanif yang memandu kereta bertindak berani dengan mengejar dan melanggar motosikal menyebabkan suspek jatuh, Mohd Hanif kemudian bergelut dengan penjenayah terlibat sebelum berjaya ditahan dengan bantuan penduduk berdekatan.

“Berdasarkan siasatan polis, suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau dan penangkapan suspek dipercayai dapat membantu menyelesaikan empat kes bersabit dengannya mulai awal tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan sijil penghargaan kepada Mohd Hanif di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, siasatan polis juga mendapati suspek terlibat dengan kegiatan jenayah samun sejak 2015 dengan menyasarkan golongan wanita yang berada di kawasan sunyi dan tidak ramai orang.

“Polis juga akan menyiasat lebih lanjut pembabitan suspek yang berasal dari Machang itu dalam lain-lain kes termasuk kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.