Penerima kali pertama bantuan kerajaan teruja belanja SARA RM100

Penerima kali pertama bantuan kerajaan teruja belanja SARA RM100

Kebanyakan mereka yang ditemui bersyukur dan berterima kasih atas penghargaan kepada setiap warganegara 18 tahun ke atas sempena Hari Kebangsaan.

SARA BANTUAN 100
Kredit RM100 SARA sah digunakan hingga 31 Dis ini untuk pembelian barangan asas di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.
PETALING JAYA:
Penerima kali pertama bantuan kerajaan gembira dan teruja untuk berbelanja Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 dikreditkan melalui MyKad bermula 31 Ogos lalu.

Kebanyakan mereka yang ditemui FMT bersyukur dan berterima kasih atas penghargaan kepada setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas sempena Hari Kebangsaan, dan menyatakan penggunaan MyKad untuk menebus bantuan sekali beri itu memudahkan serta lebih praktikal.

Rozilawati Ibrahim
Rozilawati Ibrahim.

Pengarah urusan syarikat, Rozilawati Ibrahim, berkata sebelum ini dia hanya melihat kelompok tertentu dipilih menerima bantuan kerajaan, namun kali ini namanya turut tersenarai.

“Ini kali pertama saya terima bantuan kerajaan. Walaupun RM100 tapi rasa teruja sebab selama ini tidak pernah dapat apa-apa (bantuan). Rasa ‘wow’ tidak sabar hendak guna (berbelanja),” kata wanita berusia 55 tahun kepada FMT.

Penghargaan SARA RM100 diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu memberi manfaat kepada 22 juta rakyat melibatkan tambahan RM2 bilion, menjadikan peruntukan keseluruhan bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara.

Kredit RM100 itu sah digunakan hingga 31 Dis ini untuk pembelian barangan asas di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

Muhammad Faris Aiman
Muhammad Faris Aiman.

Seperti Rozilawati, pembantu produksi, Muhammad Faris Aiman, 23, juga kali pertama menerima bantuan kerajaan.

“Jadi, bila dapat RM100 ini saya gembira sebab boleh beli barang keperluan,” katanya, walaupun teruja dia memilih tunggu sehingga keadaan kembali tenang sebelum membuat pembelian.

“Sekarang orang tengah beli barang guna RM100 itu, jadi saya tunggu keadaan reda sikit baru tengok apa yang boleh dibeli.”

Zureen Hanis
Zureen Hanis.

Pengurus pemasaran, Zureen Hanis, 29, memaklumkan dia membuat carian untuk mengetahui barangan yang boleh dibeli menggunakan SARA RM100 kerana ini pengalaman pertamanya.

“Walaupun jumlahnya (RM100) tidak banyak tapi dapatlah membantu. Saya mungkin beli bahan-bahan yang boleh simpan lama,” katanya.

Mohd Faliq Hassan
Mohd Faliq Hassan.

Sementara itu, Mohd Faliq Hassan, 39, berkata dia akan menggunakan penghargaan tersebut untuk membeli barangan keperluan ibunya yang menghidap kanser.

Penyelia kedai itu berpendapat, bantuan tersebut benar-benar sampai kepada golongan memerlukan.

“Kalau tidak perlu, lebih baik sumbangkan pada orang lain yang lebih memerlukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.