Siasat jika ada kartel manipulasi harga, gesa Shafie selepas kenaikan harga ayam, ikan

Siasat jika ada kartel manipulasi harga, gesa Shafie selepas kenaikan harga ayam, ikan

Presiden WARISAN itu berkata, langkah itu bertujuan mencegah manipulasi dan kenaikan harga barang keperluan.

Shafie Apdal berkata, pihak yang didapati mengawal atau memanipulasi harga barang keperluan asas boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Presiden WARISAN, Shafie Apdal menyeru kerajaan menyiasat sekiranya terdapat sebarang bentuk pakatan atau kartel dalam pasaran barang keperluan di negara ini bagi mencegah manipulasi dan kenaikan harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ini kerana katanya, beberapa minggu ini, harga ayam dilaporkan naik secara mendadak dan pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di beberapa pasar awam juga mendapati kenaikan harga sehingga 30% yang secara tidak langsung menyebabkan harganya melepasi RM10 sekilogram.

“Mungkin disebabkan kenaikan harga ayam ini, kerajaan melalui kempen yang ada telah menasihatkan pengguna untuk membeli sumber alternatif lain seperti ikan dan juga makanan laut.

“Bagaimanapun, baru-baru ini turut dilaporkan harga ikan juga mengalami peningkatan ketara dan disebabkan hal ini juga, jualan ikan dan makanan laut dikatakan mengalami kemerosotan hampir 80%.

“Apa yang lebih membimbangkan, pada Jun tahun ini rakyat dibebankan dengan kenaikan harga minyak masak yang mencapai RM35 untuk sebotol 5kg dan ini merupakan kenaikan mendadak daripada harga biasa, iaitu sekitar RM20 hingga RM25 sebotol pada bulan-bulan sebelumnya.

“Ironinya, sepanjang dua bulan tersebut, pengguna dibebankan dengan kenaikan harga tanpa kawalan kerajaan dan memungkinkan manipulasi harga di peringkat pengeluar, pengedar, pemborong atau peruncit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, pihak yang didapati mengawal atau memanipulasi harga barang keperluan asas boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

Katanya, seksyen itu melarang sebarang bentuk pakatan bersifat antipersaingan dan pemakaian undang-undang persaingan juga boleh menstabilkan harga pasaran serta digunakan kebanyakan negara, terutamanya ketika negara teruk terjejas akibat wabak Covid-19.

Beliau berkata, tindakan itu bukan perkara baharu kerana Kesatuan Eropah (EU) mendenda beberapa pengeluar sayur sebanyak 31.6 juta euro pada Oktober 2020 kerana menaikkan harga sayur-sayuran di pasaran Eropah.

“Tindakan penguatkuasaan dan denda yang tinggi ini memberikan satu bentuk peringatan kepada semua pengeluar dan peruncit makanan dan barangan agar sentiasa patuh dengan undang-undang antipersaingan.

“Ia juga dapat mencegah sebarang bentuk manipulasi yang boleh mengganggu gugat kestabilan harga.”

Beliau berkata, kartel menaikkan harga barangan mungkin wujud, jika ada pihak yang mengawal rantaian bekalan, termasuk menyorok bekalan.

Pada 2005 katanya, ketika menjadi menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, beliau meminta Angkatan Tentera Malaysia menyalurkan barangan seperti beras, tepung dan gula terus kepada penduduk di luar bandar dan kawasan pedalaman, khasnya di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Ini bagi membendung sebarang tindakan manipulasi bekalan oleh pengedar atau orang tengah, sekali gus dapat menurunkan harga barang di negeri-negeri tersebut.

“Selain tindakan penguatkuasaan yang berkesan, kerajaan juga perlu membuat lebih banyak tadbir urus dan konsultasi dengan pihak berkepentingan.

“Sebagai contohnya, peruncit turut terkesan dengan pandemik yang melanda negara, apabila sewa premis meningkat dan peniaga terpaksa memindahkan kos kepada pengguna dengan menaikkan harga.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.