
Walaupun aktiviti itu dibenarkan di negeri yang berada di Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun langkah pemantauan perlu dilakukan bagi mengelak insiden tidak diingini.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih belum mengeluarkan kompaun kepada individu atau kumpulan berbasikal di daerah ini, namun mengingatkan bahawa tindakan boleh diambil terhadap mereka berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Sebarang tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan penalti (kompaun) juga boleh dikeluarkan kepada mereka mengikut Seksyen 54 akta yang sama.
“Bagi kesalahan pertama, individu terbabit boleh didenda RM300 dan untuk kesalahan kedua pula boleh didenda RM1,000 serta penjara jika didapati bersalah,” katanya kepada media di sini.
Muhammed Rizal turut memaklumkan pihaknya masih mengutamakan pendekatan budi bicara sebelum mengeluarkan kompaun kepada individu atau kumpulan berbasikal yang dikesan berkonvoi secara berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Seboleh-bolehnya kita gunakan budi bicara terlebih dahulu dengan memberi nasihat kepada mereka. Jika didapati ia adalah kesalahan berulang, kita tidak ada pilihan dan keluarkan kompaun kepada mereka,” katanya.
Sebelum ini tular di media sosial video rakaman aksi bahaya seorang penunggang basikal mengekori dengan rapat belakang sebuah lori treler dan video itu didakwa dirakam di Jalan Kuantan-Gambang, dekat sini.
Video berdurasi 2 minit 34 saat itu dikatakan dirakam pada 17 September lalu oleh seorang lagi pemandu lori yang berada di belakang penunggang basikal berkenaan.