Kes kerakyatan anak ‘ikut’ ibu: Tak perlulah rayu lagi, kata Nazri

Kes kerakyatan anak ‘ikut’ ibu: Tak perlulah rayu lagi, kata Nazri

Isu berkaitan hak kewarganegaraan anak wanita Malaysia yang lahir di luar negara tidak perlu dipanjangkan, kata Nazri Aziz.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz menggesa kerajaan menggugurkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa anak yang dilahirkan warganegara Malaysia di luar negara turut diberikan kerakyatan secara automatik oleh ibu mereka.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz menggesa kerajaan menggugurkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan anak dilahirkan wanita warga Malaysia di luar negara turut diberikan kerakyatan secara automatik.

Beliau berkata, tidak ada keperluan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu kerana ia bukan sesuatu yang perlu diberi keutamaan buat masa ini.

“Mengapa ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anak di luar negara perlu berdepan masalah seperti ini? Sedangkan ada peruntukan mengatakan selepas anak itu berusia 18 tahun, mereka ada hak memilih sama ada menjadi warganegara atau tidak…ia adalah hak asasi setiap anak yang dilahirkan, tidak kira ibu atau bapanya yang merupakan warganegara Malaysia.

“Keputusan (kerajaan) untuk membuat rayuan sangat tidak bertepatan dengan usaha perdana menteri baharu yang memperkenalkan konsep ‘Keluarga Malaysia’.

“Kalau macam inilah, kita susah nak capai jumlah penduduk seperti disasarkan dan macam Yang Berhormat Langkawi (Dr Mahathir Mohamad) cakap tadi, masa beliau jadi perdana menteri 1.0, sasar 70 juta penduduk (Malaysia). Tapi sekarang bila (mahkamah) sudah putuskan, kerajaan nak buat rayuan pula,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 9 Sept lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan anak yang dilahirkan ibu warga Malaysia di luar negara secara automatik diberikan kewarganegaraan Malaysia.

Kerajaan persekutuan kemudian memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan itu.

Sementara itu, Nazri turut berkongsi pendapat dengan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said yang mahu semua Ahli Parlimen memperoleh jumlah peruntukan sama.

“Mengenai peruntukan ini, saya fikir apa yang Pengerang (Azalina) cakap tempoh hari adalah tepat dan ini untuk membuktikan kerajaan benar-benar mahu melakukan reformasi parlimen.

“Semua Ahli Parlimen sepatutnya menerima (jumlah) peruntukan sama kerana akhirnya ia akan digunakan untuk rakyat yang mengundi mereka…takkanlah kita nak hukum rakyat kerana mereka tidak memilih (calon) kita (kerajaan),” katanya.

Beliau turut bersetuju jawatan perdana menteri hanya dipegang selama dua penggal bagi mengelakkan salah guna kuasa secara berleluasa.

“Bila tempoh ini dihadkan kepada dua penggal, dia (Perdana Menteri) tidak dapat terlalu rapat dan menguasai perkhidmatan awam seperti ketua setiausaha, pegawai kanan lain…jadi tidak ada peluanglah untuk jadi diktator,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.