PM perlu hati-hati tangani isu MM2H, kata penganalisis

PM perlu hati-hati tangani isu MM2H, kata penganalisis

Seorang pakar ekonomi berkata Ismail Sabri Yaakob perlu elak meneruskan 'dasar kurang baik' yang dibuat kerajaan sebelum ini.

Penganalisis berkata Malaysia tidak dapat menarik minat peserta MM2H berkualiti dengan hanya meningkatkan syarat.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri digesa untuk menggunakan pendekatan yang lebih konsultatif mengenai Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan mengelakkan daripada dilihat meneruskan “dasar kurang baik” kerajaan sebelumnya.

Pakar ekonomi Firdausi Suffian dari UiTM Sabah berkata, Ismail Sabri Yaakob telah memperoleh reaksi yang positif selepas menawarkan kerjasama dengan pembangkang dan mencapai persefahaman politik dengan Pakatan Harapan untuk membuat perubahan.

“Saya rasa beliau harus mendengar seruan untuk mengkaji semula MM2H baharu yang menyekat dan tidak produktif terhadap usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi,” kata Firdausi.

Syarat-syarat baharu yang diperkenalkan pada hari-hari terakhir kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menarik banyak pandangan dan suara daripada kumpulan peniaga, ekspatriat, dan malah Sultan Johor.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin sebelum ini berkata, syarat baharu membolehkan Malaysia menarik minat peserta berkualiti yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih positif.

“Tetapi anda tidak boleh menarik minat ekspatriat berkualiti dengan hanya menambah syarat MM2H,” kata Firdausi. Malaysia terlebih dahulu harus menarik minat industri bernilai tinggi.

“Sebilangan besar aktiviti ekonomi kita berpusat di sekitar industri dalam kategori nilai sederhana dan rendah. Oleh itu, anda mesti melaksanakan reformasi dan insentif untuk menjadikan negara ini lebih menarik bagi industri bernilai tinggi,” katanya.

Syarat yang lebih ketat hanya akan mendorong kekecewaan warga asing, termasuk pesara untuk menetap di sini dan menghabiskan wang mereka di negara ini.

Firdausi berkata, ia tidak akan menjadi kepentingan buat Ismail jika isu ini menyebabkan kerajaannya tidak sependapat dengan Sultan Johor dan komuniti perniagaan terutamanya kerana beliau tidak memiliki majoriti besar di Dewan Rakyat.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura juga berkata Ismail perlu menyelesaikan masalah ini kerana pentadbirannya masih baharu dan beliau tidak memiliki majoriti besar.

Katanya, tiada masalah untuk memperkenalkan syarat MM2H yang baharu tetapi ia hanya boleh digunakan untuk pemohon baharu dan bukan pemegang MM2H sedia ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.