Pengunjung kawasan riadah diarah beredar jika vaksin tak lengkap, kata Bukit Aman

Pengunjung kawasan riadah diarah beredar jika vaksin tak lengkap, kata Bukit Aman

Polis menggerakkan pasukan pemantau di semua lokasi riadah yang menjadi tumpuan ramai bagi memastikan pengunjung lengkap vaksin Covid-19 dan patuh prosedur operasi standard (SOP).

Polis berkata, pemantauan mendapati pengunjung di lokasi riadah agak berkurangan semalam, yang merupakan cuti umum sempena Hari Malaysia, berbanding pada Sabtu dan Ahad lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman Mastor Mohd Ariff berkata, orang ramai yang mengunjungi kawasan riadah akan diarah beredar sekiranya tidak lengkap dua dos vaksin.

Katanya, polis telah menggerakkan pasukan pemantau di semua lokasi riadah yang menjadi tumpuan ramai bagi memastikan pengunjung lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 dan patuh prosedur operasi standard (SOP).

“Sekiranya berdegil, mereka akan diarah beredar dari lokasi itu setelah diberi nasihat oleh polis. Kami faham rakyat tertekan dan dalam menguatkuasakan undang-undang, sifat kemanusiaan itu penting dalam membantu masyarakat,” katanya, menurut laporan Bernama, semalam.

Sementara itu, Mastor juga berkata, pemantauan mendapati pengunjung di lokasi riadah agak berkurangan semalam, yang merupakan cuti umum sempena Hari Malaysia, berbanding pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Zainal Mohamed Mohamed pula berkata, pihaknya mengeluarkan tujuh kompaun pelanggaran SOP dan 46 saman trafik terhadap pengunjung di kawasan air terjun Sungai Pisang.

“Kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada jarak fizikal antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.