
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata dalam serbuan pada 9 Okt lalu pihaknya turut menahan 147 individu terdiri daripada 110 lelaki dan 30 wanita warga tempatan serta enam lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 20 hingga 50 tahun.
“Dalam serban ini juga polis merampas perkakasan dan peralatan yang digunakan untuk membangunkan platform perjudian dalam talian, mesin slot dan alat ganti mesin slot.
“Hasil siasatan mendapati semua premis diserbu ini tidak memiliki kebenaran yang sah dari mana-mana pihak termasuk Kementerian Kewangan untuk menjalankan aktiviti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, sebanyak tiga kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4B(a), 4B(b) dan 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Semua kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya Selangor yang bersetuju menuduh 133 suspek atas kesalahan mempromosikan perjudian di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakatan jahat jenayah.
“Tujuh warga asing turut dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas atau permit,” katanya.
Menurut Kumar, pihaknya juga mengkaji untuk mengenakan tindakan lain di bawah undang-undang sedia ada seperti peruntukan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).