Polis tahan 4 lelaki, rampas lebih 3 juta rokok tak bercukai

Polis tahan 4 lelaki, rampas lebih 3 juta rokok tak bercukai

Rampasan rokok dianggarkan bernilai RM6,228,000, menurut Bukit Aman.

Azmi Abu Kassim
Pengarah JKDNKA Bukit Aman Azmi Abu Kassim tegaskan polis terus pergiat risikan serta operasi untuk jejak dan banteras kegiatan penyeludupan dengan lebih berkesan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis menahan empat lelaki dan merampas lebih tiga juta batang rokok tidak bercukai bernilai lebih RM6 juta dalam Op Taring Alpha 1 di Kepong, Ahad lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Azmi Abu Kassim berkata, serbuan pada 6.50 pagi itu hasil risikan oleh Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) JKDNKA Bukit Aman bersama IPD Sentul.

“Serbuan dijalankan selepas menerima maklumat mengenai aktiviti pemunggahan rokok disyaki tidak bercukai dari sebuah lori enam tan ke tiga van, sebuah lori satu tan dan sebuah kereta di kawasan parkir hadapan Kepong Commercial Park,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas enam kenderaan itu membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan berusia 31 hingga 44 tahun serta rampasan pelbagai barangan termasuk 3,460,000 batang rokok, tiga van, dua lori, sebuah Hyundai Starex dan lapan telefon bimbit pelbagai jenama.

“Jumlah rampasan rokok dianggarkan bernilai RM6,228,000 manakala nilai keseluruhan rampasan dalam operasi ini dianggarkan sebanyak RM9,526,400,” katanya.

Azmi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, dan operasi itu dilancarkan bagi mengekang kegiatan perniagaan, penyimpanan serta penjualan rokok tidak bercukai di sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan pasukan polis dalam membanteras kegiatan penyeludupan serta penjualan barangan tidak berkastam.

“Bagi tempoh 1 Jan hingga 26 Okt lepas, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 218 serbuan di seluruh negara, dengan 394 individu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar serta operasi e-sisa.

“Nilai keseluruhan rampasan bagi tempoh itu dianggarkan berjumlah RM690.32 juta,” katanya.

Beliau menegaskan polis terus mempergiat risikan serta operasi bagi menjejak dan membanteras kegiatan penyeludupan dengan lebih berkesan.

Orang ramai turut digalak menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah ini sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.